Laporan/foto: Suzaima Ibrahim/Anis Hayati Tom (Kota Kinabalu)
KUDAT, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 1987 penerima di daerah Kudat menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 secara tunai dan bakul makanan anjuran Kementerian Kewangan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kudat dan Pejabat Penerangan Daerah Kudat.
Timbalan Pengarah Kewangan Persekutuan Sabah Siti Norhaini Osli, berkata 10 penerima BPN yang terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas serta 20 orang penerima bakul makanan terpilih untuk menerima bantuan.
“Penyerahan tunai ini bertujuan untuk memastikan semua bantuan kerajaan sampai ke tangan penerima dan berharap agar sumbangan yang disampaikan ini dapat meringankan sedikit beban yang dihadapi oleh penerima bantuan dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih melanda negara pada masa ini,” katanya yang ditemui sempena program tersebut di Dewan Tun Mustapha, di sini baru-baru ini.
Kesemua penerima sumbangan mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak kerajaan atas sumbangan yang diberikan.
Salah seorang penerima dari Tanjung Kapur Kudat Tusin Lajahassan, 47, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas sumbangan yang dihulurkan di samping dapat berjumpa dan beramah mesra dengan ketua-ketua jabatan yang hadir.
“Ini merupakan kali pertama saya menerima sumbangan seperti ini dan menyifatkan pemberian ini amat bermakna buat diri saya dan keluarga,” katanya.
Bagi Aisyah Udud, 42, yang berasal dari Kampung Landung Ayang, rasa gembira terpampang pada wajah beliau dan bersyukur atas sumbangan yang diberikan.
“Alhamdulillah, rasa senang hati sebab pemberian ini banyak membantu kami sekeluarga.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan kami agak terjejas sebab terpaksa berhenti berniaga,” jelasnya yang berniaga secara kecil-kecilan di kampungnya.
Bagi Penerima BPN 2.0 pula, Suriah Saudi, 37, yang berasal dari Kampung Tungkang Sikuati yang sebelum ini menerima bantuan BPN 1.0 melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan kerana bantuan sampai pada masa yang tepat.
“Terima kasih atas sumbangan kerajaan berikan, ianya tepat pada masanya dengan situasi pendapatan yang tidak menentu pada masa kini.
“Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, kehidupan kami sekeluarga cukup tertekan dengan keadaan pendapatan yang berkurangan daripada sebelumnya akibat pekerjaan suami sebagai nelayan yang tidak dapat turun ke laut sejak di PKP dilaksanakan,” katanya.
-RI