
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin/Muhamad Azrin Mubin (Langkawi)
LANGKAWI, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Air Sedunia yang bertemakan ‘Hargai Air‘ tidak sekadar terletak pada harga semata-mata tetapi menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, air mempunyai nilai yang sangat besar dan kompleks merangkumi kehidupan seharian.
Pegawai Daerah Langkawi Saiful Anwar Azmi, berkata negara masih lagi berdepan dengan pelbagai isu dalam mengurus sumber air.
“Sejajar dengan tema sambutan Hari Air Sedunia pada tahun ini, “Hargai Air”, negara kita tidak pernah berhenti malah jauh sekali daripada berputus asa dalam menerapkan konsep tentang pengurusan sumber air yang bersepadu dan lestari melalui pelbagai pendekatan termasuk Integrated River Basin Management (IRBM), Integrated Flood Management (IFM), Manual Saliran Mesra Alam (MSMA), Integrated Coastal Zone Management (ICZM), Integrated Shoreline Management Plan (ISMP) dan Integrated Lake Basin Management (ILBM).
“Saya berpendapat bahawa keupayaan pengurusan sumber air haruslah sentiasa dipertingkatkan dengan kerjasama yang kukuh terjalin oleh semua kerajaan negeri kerana bidang tanggungjawab pengurusan sumber air adalah bawah kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan sentiasa menghulur khidmat nasihat dan bantuan teknikal seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya semasa ucapan perasmian Sambutan Air Sedunia sambutan tersebut di Sungai Korok, di sini kelmarin.
Menurut Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran Langkawi Mohd Noorazidi Yunus, tema pada tahun ini berkisarkan erti air kepada manusia, kehidupan dan bagaimana cara untuk melindungi sumber yang penting ini.
“Seramai lebih kurang 70 orang peserta yang terlibat menjayakan Sambutan Hari Air Sedunia 2021 kemarin dan antara aktiviti-aktiviti yang berlangsung adalah sesi taklimat, senaman dan aktiviti gotong royong di kawasan sekitar,” katanya.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Juhari Bulat, Setiausaha Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan Noorul Azyyati Ahmad Salmi dan Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi Superintenden Samsul Mudin Sulaiman.
~RJ~