Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Negeri Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri, menyeru agar rakyat di negeri ini agar sentiasa menjaga kebersihan sungai demi generasi akan datang.
“Keadaan sungai di seluruh Negeri Terengganu masih lagi dalam keadaan terkawal berbanding dengan negeri lain di Malaysia.
“Justeru, kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan di bawah agensi Jabatan Alam Sekitar (JAS) terjalin rapat bagi memastikan kebersihan sungai di negeri ini sentiasa terpelihara dan kita juga mahu masyarakat setempat berganding bahu dengan kerajaan untuk memastikan sungai di negeri ini tidak tercemar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Gotong-Royong Bersempena Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Sungai Sekilir Kemasik, Kemaman, baru-baru ini.
Tambah Ahmad Samsuri, selain di Sungai Sekilir terdapat enam lagi lokasi diadakan gotong-royong secara serentak di negeri Terengganu iaitu Sungai Mercang (Marang), Sungai Tenang (Besut), Sungai Tersat (Hulu Terengganu), Sungai Hiliran Kuala Terengganu (Kuala Terengganu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Setiu (Setiu).
“Gotong-royong ini bertujuan untuk memupuk masyarakat dalam memastikan persekitaran yang lestari di kawasan badan air.
“Sambutan Hari Air Sedunia bertujuan memenuhi sasaran matlamat ‘Pembangunan Mampan’ yang dilancarkan pada 2015 oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan setiap individu mempunyai akses air bersih pada 2003,” katanya.
Faedah Akmal Muhammad, 61, suri rumah yang ditemui dalam gotong-royong tersebut berkata saranan Menteri Besar sangat baik kepada masyarakat di sini.
“Penduduk yang tinggal di sini terutamanya di sekitar Sungai Sekilir perlu sama-sama menjaga kebersihan sungai bagi memastikan warna air yang jernih apabila dijaga dengan baik selain dapat mengelakkan limpahan air ke tebing jika hujan lebat berlaku di sini,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Amin Roslan, 45, juga bersependapat dengan Faedah dan menyeru rakan-rakan yang tinggal di sekitar sini supaya tidak membuang sampah ke dalam sungai dan sekiranya ternampak batang kayu yang menghalang pergerakan air, segera mengalihkannya supaya aliran sungai lancar.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Dr. Alias Razak, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid.
-ii-