Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

OKU Penglihatan Bangkit Selepas Sektor Urut Dibenar Operasi

By 29 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Saberiya Patiroi (Kota Kinabalu)

TAWAU, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Orang kurang upaya (OKU) penglihatan kembali bangkit selepas hilang punca pendapatan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengerusi Pertubuhan Orang Buta Sabah Cawangan Tawau (POBT), Samsiah Bahron berkata seramai 28 orang ahli persatuan itu dari sekitar daerah Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu kembali bersemangat meneruskan kehidupan selepas kerajaan membenarkan sektor ini beroperasi.

“Setakat ini sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan terutama pada hujung minggu, namun ada ketikanya tiada pelanggan langsung disebabkan masyarakat masih ragu-ragu disebabkan oleh pandemik ini.

“Walaupun perkhidmatan ini dibenarkan beroperasi, hanya 30 hingga 40 peratus sahaja pelanggan yang akan datang mendapatkan perkhidmatan urut kerana belum yakin dengan situasi semasa,” katanya ketika ditemui di Tamu Mingguan Sabindo, baru-baru ini.

Sementara itu, Saharudin Abdul Hakim, 30 melahirkan rasa syukur terhadap pembukaan sektor ini dan turut menjelaskan aktiviti urut berpotensi membantu OKU mendapatkan pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Kami sama-sama mencari rezeki sebagai tukang urut dengan pendapatan RM20 sehingga RM25 setiap kali mengurut pelanggan selain bergantung harap dengan elaun yang diberikan oleh kerajaan.

“Lebih kurang lima hingga enam ahli POBT sahaja dibenarkan melakukan menjalankan perkhidmatan ini sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan,”jelasnya.

Saharudin yang berasal dari Brumas disini, terpaksa menaiki pengangkutan awam sejauh 68 kilometer ke pusat bandar Tawau pada setiap hujung minggu bagi menyertai Perkhidmatan Urutan POBT.

Terdahulu beliau turut memaklumkan pernah menimba ilmu dan menjalani latihan di Pusat Latihan Orang Buta Taman Cahaya, Sandakan dalam bidang pertanian, kraf tangan, komputer, refleksologi dan tulisan braille selama lima tahun.

“Kekurangan bukan alasan untuk dikasihani dan mengharapkan bantuan orang lain, sebaliknya bangkit berdikari sama seperti manusia normal,” katanya yang mempunyai masalah penglihatan sejak kecil.

-RI

Tinggalkan komen anda