Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kerajaan Persekutuan Terus Komited Pulih Ekonomi Sabah

By 22 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Johny George Kimlon (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan Persekutuan terus komited dalam membantu memulihkan semula ekonomi Sabah akibat pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri membolehkan perancangan pembangunan dapat dirangka sebaiknya.

“Pada lawatan kerja pada kali ini juga, saya akan menerima taklimat daripada kerajaan negeri mengenai rancangan yang akan dilaksanakan.

“Seterusnya, kita akan memberikan pandangan yang sesuai dalam membantu memacu ekonomi Sabah,” katanya dalam Majlis Makan Malam bersama Pemimpin Bersama Rakyat di salah sebuah hotel terkemuka, di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan amanat agar pemimpin negeri menterjemahkan sokongan yang diberikan rakyat dalam bentuk bantuan, sokongan serta pembangunan negeri.

“Bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita umumkan pada 18 Mac 2020, masyarakat berhadapan dengan masalah ekonomi.

“Perkara ini adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan dan bantuan perlu disampaikan secara bersungguh-sungguh dalam tempoh yang segera. Ia juga merupakan tanggungjawab yang luar biasa perlu dipikul dalam fasa yang mencabar ini,” katanya lagi.

Tambah Muhyiddin, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang berlangsung diharapkan dapat memulihkan negara kembali seperti sedia kala, merancakkan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Sri Bung Moktar Radin dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan.

Muhyiddin (empat dari kiri) menerima cenderahati dari Hajiji (empat dari kanan) bagi pihak kerajaan negeri, sambil diperhati Bung (tiga dari kiri) dan Jeffrey (tiga dari kanan).

Muhyiddin (empat dari kiri) menerima cenderahati dari Hajiji (empat dari kanan) bagi pihak kerajaan negeri, sambil diperhati Bung (tiga dari kiri) dan Jeffrey (tiga dari kanan).

-RI

Tinggalkan komen anda