
Laporan/foto: Zuriatina Tamat/Mohd Asmi Allias (Kluang)
KLUANG, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Intan 2 Kluang telah dinobatkan sebagai Johan Anugerah Projek Ekonomi Rukun Tetangga Terbaik dan Naib Johan bagi Anugerah Projek Inovasi Rukun Tetangga Terbaik Peringkat Kebangsaan, di sini, semalam.
Menurut Pengerusi KRT Taman Intan 2 Ramli Tawil, kerjasama antara Ahli Jawatankuasa (AJK) KRT sangat penting bagi menjayakan Projek Ekonomi Agro KRT (tanaman sayur) di kejiranan mereka.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen yang tinggi dari semua AJK, ahli KRT serta semua pihak.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Johor, Pegawai Perpaduan Daerah Kluang serta Kementerian Perpaduan Negara yang sentiasa memberikan peluang, sokongan, dokongan dan dorongan kepada kami,” katanya lagi ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kluang, di sini, semalam.
Ramli berharap, kemenangan ini mampu menjadi dorongan untuk mereka lebih berjaya pada masa-masa akan datang.
Pengerusi KRT Taman Puteri Hassan Arsari Abu Hassan, berkata beliau dan ahli jawatankuasanya tetap bersyukur walaupun mereka hanya berjaya menduduki tempat keempat dalam kategori yang dicalonkan.
“Saya bersyukur, walaupun menduduki tempat keempat dalam Anugerah Pengurusan Rukun Tetangga Terbaik Kebangsaan pada tahun ini, namun kami bangga dapat bersaing dengan KRT lain dari seluruh Malaysia.
“Ia bukan sesuatu yang mudah namun kami tetap cuba yang terbaik dalam memastikan kerja-kerja dan rekod-rekod kami berada dalam keadaan sistematik dan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan,” ujarnya.
Pejabat Perpaduan Daerah Kluang telah menghantar tiga pencalonan anugerah KRT dari lapan anugerah KRT Kebangsaan.
Turut hadir Pegawai Daerah Kluang, Jamaludin A.Hamid dan Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng.
-NI-