Laporan/foto: Nurul Ain Johari/Mohd Rafezan Shawal (Kulai)
KULAI, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Setelah melalui rentetan episod dalam sistem pendidikan negara yang menyaksikan pengoperasian sekolah terpaksa mengikut rentak angka COVID-19, akhirnya sekolah mula dibuka secara berperingkat pada hari ini.
Pembukaan semula sesi persekolahan hari ini melibatkan murid pra sekolah, tahun satu dan dua di seluruh negara manakala tahun tiga, empat, lima dan enam akan bermula pada 8 Mac nanti.
Untuk para pelajar sekolah menengah pula mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala bagi negeri-negeri lain pada 5 April.
Tinjauan ke salah satu Sekolah Tadika Kemas Hospital Kulai mendapati sesi permulaan sekolah berjalan lancar di mana kebanyakan ibu bapa pada hari ini menghantar anak mereka ke sekolah bagi melihat sendiri suasana dan kawalan prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian tadika bagi mencegah penularan wabak COVID-19.
Mohd Yusof Md Sabri, 39, yang ditemui berkata beliau sangat berpuas hati dengan layanan dan kawalan ketat penjagaan diri norma baharu di sini bagi menangani pandemik COVID-19.
“Ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak-anak mereka sehingga di hadapan sekolah sahaja.
“Sebelum memasuki sekolah, kanak-kanak ini akan diperiksa suhu badan menggunakan alat pengimbas suhu dan memakai cecair pembasmi kuman dengan bantuan guru-guru tadika yang bertugas,” katanya lagi ketika ditemui di sekolah tersebut, di sini, pagi tadi.
Tambah beliau, jika pihak sekolah mendapati terdapat pelajar yang kurang sihat mereka tidak dibenarkan hadir ke sekolah bagi menjaga keselamatan para pelajar yang lain.
“Saya berharap pihak sekolah akan memastikan penjagaan diri dari segi penyediaan makanan, meja dan kerusi sentiasa berada dalam keadaan bersih dan sekolah disanitasi selepas digunakan bagi memastikan para pelajar di sekolah ini tidak terdedah dengan jangkitan wabak COVID-19, ” ujarnya.
Tidak mengambil mudah aspek SOP, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah yang mengandungi panduan pengurusan dalam pelbagai aspek ketika penularan COVID-19 kepada semua sekolah di seluruh negara.
Garis panduan ini juga merangkumi aspek bermula murid sampai ke pintu pagar sekolah, ketika murid berada di sekolah dan SOP ketika waktu pulang.
-NI-