Laporan/foto: Hirsham Azmi (Pontian)
PONTIAN, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Ketua Kampung yang merupakan pemimpin paling hampir dengan masyarakat perlu pastikan penduduk di kawasan pentadbiran mereka tampil dan mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Menurut Pegawai Daerah Pontian Mohd Rafi Abdullah, semua ketua kampung perlu menghebahkan mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan kepada para penduduk kampung dan menggalakan mereka untuk membuat pendaftaran.
“Gunakan platform yang sudah disediakan untuk menerangkan dengan lebih lanjut tentang vaksin COVID-19 dan saluran-saluran yang boleh digunakan untuk mendaftarkan diri dan ahli keluarga mereka.
“Kita perlu memberikan kesedaran kepada para penduduk terutama golongan yang memerlukannya seperti warga emas, golongan berisiko tinggi dan orang kurang upaya (OKU) untuk mengambil suntikan vaksin dan memberi penerangan secara berterusan bagi memupuk pemahaman mengenai kepentingan vaksin COVID-19 serta kesannya dalam jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ikrar Penyampaian Watikah Perlantikan Ketua-Ketua Kampung Daerah Pontian di Pejabat Daerah Pontian, di sini semalam.
Tambah beliau, program vaksinasi ini penting bagi mewujudkan imuniti kelompok, sekali gus membolehkan ekonomi negara kembali pulih.
“Ketua kampung perlu mengenal pasti dan membantu mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendaftar bagi memastikan tiada yang tercicir dalam pengambilan vaksin.
“Sila pastikan para penduduk mendaftar di aplikasi MySejahtera, laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/, talian pendaftaran vaksinasi COVID-19 Kebangsaan 1800-888-828 atau di klinik kesihatan dan hospital yang berkaitan,” ujarnya.
Sementara itu pada majlis tersebut, seramai 78 orang ketua kampung telah mengangkat sumpah ikrar yang mana pelantikan ini telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Hasil Bumi Pentadbiran Kewangan Perancangan Dan Pembangunan Ekonomi pada 17 Februari yang lalu.
Pada majlis itu, Mohd Rofi turut mengingatkan agar semua ketua kampung yang baharu dilantik agar lebih berintegriti dalam menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan serta sentiasa berpegang teguh terhadap agama Islam serta taat kepada Sultan Johor.
-NI-