
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Azri Onn (Labuan)
LABUAN, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Tahap kesiapsiagaan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekolah-sekolah di Labuan dalam mengekang penularan pandemik COVID-19 dalam tahap terbaik.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Operasi Sekolah (SOS) Datuk Adzman Talib, berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan dan pematuhan sekolah-sekolah di Labuan.
“Saya berpuas hati dengan kaedah-kaedah penyuraian murid yang telah diamalkan oleh sekolah-sekolah di Labuan berdasarkan model-model yang telah dicadangkan.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat keputusan sukar membenarkan murid-murid kembali ke sekolah dan diakui bahawa sesi persekolahan secara bersemuka adalah amat penting bagi setiap murid mendapat akses kepada pendidikan terbaik.
“Justeru kita perlu memastikan keselamatan murid dan warga sekolah sentiasa terjamin dengan mematuhi SOP yang telah disediakan,”katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Pendidikan Labuan, di sini baru-baru ini.

Adzman (dua dari kiri) semasa menurunkan tanda tangan pada buku lawatan di salah sebuah sekolah yang dilawati.
Beliau mengucapkan tahniah atas inisiatif yang diambil Jabatan Pendidikan Labuan kerana menyediakan sekurang-kurangnya 20 singki di setiap sekolah secara tetap dan dibuat dengan begitu kemas bagi memudahkan murid-murid untuk mencuci tangan secara kerap dan menjaga kesihatan.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Labuan Yusup Mohamad, menerangkan tentang hala tuju dan pelan strategik Jabatan Pendidikan WP Labuan dalam tempoh 2021 hingga 2025.
“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meletakkan pendidikan Labuan di landasan terbaik dengan mengukuhkan program-program pendidikan di peringkat negeri dan memperkasakan aktiviti-aktiviti kebangsaan termasuk menjalinkan hubungan antarabangsa dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei Darussalam dan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan (NPO) Save the Asian Monument (SAM) Jepun,” jelas Yusup dalam ucapannya.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Labuan (Sektor Perancangan) Md Nizam Yasim dan Timbalan Pengarah Pendidikan Labuan (Sektor Pembangunan Murid) Abd Rahman Ahmad, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Labuan Ismail Abdullah dan Yang DiPertua Majlis Guru Besar (MGB) Labuan Dg Saripah A. Mahmud.
-RI