Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Dasar Agromakanan Negara 2.0 Akan Dilancarkan

By 23 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

SERDANG, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dalam masa terdekat.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata melalui DAN 2.0, MAFI menyusun semula keutamaan dalam menggerakkan teras-teras utama bagi memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan melalui kerangka prinsip yang spesifik.

“Pertama adalah daya saing yang tinggi dan inovatif, kedua bagi memastikan kebajikan petani, nelayan serta penternak terus dibela dan ketiga untuk menjamin pengeluaran makanan yang mampan bagi padi, buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan, dan perikanan.

“Kerajaan komited memperkukuhkan sektor agromakanan negara dengan menambahkan lagi usaha-usaha untuk meningkatkan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dalam sektor pertanian dan pengurangan kebergantungan kepada import sekaligus meningkatkan kualiti dan jaminan sekuriti makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan dan Makanan (NAFEC) di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, penganjuran NAFEC 2021 adalah platform untuk mengetengahkan teknologi terkini bagi memastikan pengeluaran hasil pertanian dan makanan berterusan.

“Pendekatan-pendekatan baharu dan di luar kebiasaan sememangnya perlu bagi memastikan kita dapat menghadapi pelbagai cabaran sekuriti makanan termasuk pandemik COVID-19.

“Kita mesti terus memberikan penekanan yang lebih bagi penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi, pembangunan model pertanian moden, pertanian tepat, agro robotik, aplikasi berasaskan Internet of Things (IoT) dan sebagainya sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.

“Ia secara tidak langsung dapat menarik golongan anak muda untuk terlibat dan sekaligus meningkatkan produktiviti pengeluaran dengan pengurusan yang cekap,” katanya.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menandatangani plak selepas merasmikan NAFEC 2021 yang berlangsung di MARDI.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menandatangani plak selepas merasmikan NAFEC 2021 yang berlangsung di MARDI.

-RI

Tinggalkan komen anda