
Laporan/foto: Hirsham Azmi (Pontian)
PONTIAN, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 150 orang petugas barisan hadapan daerah Pontian menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat daerah hari ini.
Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Pontian Dr Surinah Asan, penerima vaksin pada hari ini terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Bomba dan Penyelamat serta agensi-agensi lain yang terlibat secara langsung dalam menangani wabak COVID-19.
“Setakat hari ini, kesemua penerima vaksin tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang negatif atau kesan sampingan lain.
“Proses suntikan juga berjalan dengan lancar mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Daerah di Klinik Kesihatan Daerah Pontian, di sini, hari ini.
Beliau turut meminta semua masyarakat di daerah ini tampil dan mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sama ada melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/, Talian Pendaftaran Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan 1800-888-828, ketua kampung atau pusat khidmat rakyat di kawasan masing-masing
“Dengarlah saranan pakar kesihatan dan jangan percaya dengan berita palsu.
“Vaksin bukan sahaja penting untuk diri sendiri tetapi ia juga untuk melindungi orang yang kita sayang, komuniti dan negara dari wabak COVID-19,” ujarnya.
Dr Surinah berkata masyarakat perlu mendapatkan fakta tepat dengan melayari laman web KKM untuk melihat maklumat terkini serta jangan mempercayai sebarang berita palsu yang disebarkan untuk menolak penerimaan suntikan vaksin COVID-19.
-NI-