Laporan/foto: Nurul Ain Johari/Mohd Rafezan Shawal (Kulai)
KULAI, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Semua ketua kampung dan ketua masyarakat di diharap dapat menjalankan tugas secara profesional tanpa mengira fahaman politik, kepercayaan agama dan bangsa penduduk di kawasan pentadbiran masing-masing.
Seramai 20 orang Ketua Kampung Daerah Kulai yang baharu telah mengangkat sumpah ikrar janji dan menerima watikah surat lantikan bagi memegang jawatan sebagai Ketua Kampung Daerah Kulai 2021/2022 di hadapan Pegawai Daerah Kulai Zainor Adani, Penghulu Kanan dan Penghulu Mukim Daerah Kulai.
Menurut Pegawai Daerah Kulai,Zainor Adani, beliau berharap ketua kampung yang telah dilantik dapat menjalankan tugasan yang di amanahkan ini dengan sebaik mungkin, jujur, ikhlas, bertimbang rasa, saling membantu dan peka dengan keperluan atau permasalahan yang ada di kawasan kampung.
“Sebagai pemimpin yang paling hampir dengan masyarakat, ketua kampung perlu peka terhadap kehidupan rakyat miskin, miskin tegar, asnaf serta penghidap penyakit kronik agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan bagi membantu golongan ini.
“Perkara utama yang perlu diberikan perhatian adalah melibatkan pembangunan infrastruktur di dalam kawasan kampung dan perlu mengenal pasti keperluan sewajarnya untuk pembangunan kampung agar manfaat itu dapat dinikmati oleh setiap penduduk,” katanya lagi ketika ditemui selepas Majlis Pelantikan Ketua Kampung Daerah Kulai 2021/2022 di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kulai, di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, beliau berharap kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan kepada semua ketua kampung dapat dilaksanakan sebaik-baiknya.
Salah seorang Ketua Kampung yang baharu dilantik, Zainuddin Daem, 47, berkata beliau merasa bersyukur dan berterima kasih kepada pentadbiran Pejabat Daerah Kulai yang memberi peluang dan kepercayaan kepadanya untuk memegang jawatan ini.
“Saya akan cuba untuk menggalas tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di Kampung Sri Paya dan mengangkatnya kepada pihak yang berkaitan bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya.
-NI-