Laporan/foto: Zaharah Ismail/Jufie Nadheera Mohd Hanafi (WPKL)
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Penerangan (JaPen) Kuala Lumpur komited dalam memastikan kawasan kediaman penduduk bebas COVID-19 dengan melakukan kerja-kerja sanitasi di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah.
Pengarah RELA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Darman Dabang, berkata usaha itu dilihat antara langkah terbaik dalam membantu komuniti setempat memutuskan rantaian COVID-19.
“Seramai 40 anggota menggembleng tenaga melakukan kerja-kerja sanitasi dan hebahan kepada penduduk PPR Muhibbah termasuklah hebahan maklumat dan informasi terkini untuk memberikan lebih kefahaman kepada masyarakat.
“Seterusnya dengan adanya program sanitasi sebegini dapat menghindarkan mereka daripada terdedah dengan risiko jangkitan virus tersebut,” katanya yang ditemui dalam Program Pemerkasaan Komuniti dan Agen Basmi COVID-19 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di PPR Muhibbah, di sini semalam.
Menurut Darman, sebanyak empat blok perumahan terlibat dalam proses sanitasi selain hebahan risalah kepada lebih 300 penduduk telah dilakukan.
“Program ini merupakan kolaborasi antara Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Seputeh dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Program turun padang seperti itu juga dilihat dapat memperkasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kehidupan norma baharu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MPP Subzon 6 yang juga penduduk setempat, Mohd. Masri@Ajib Abu Bakar, 45, berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.
“Sekiranya ada ahli komuniti ataupun penduduk didapati melanggar SOP, kami akan sentiasa memberikan teguran dan nasihat.
“Bagaimanapun, sekiranya mereka masih berdegil, perkara itu boleh dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.
Hadir sama pada program tersebut ialah pegawai RELA Daerah Cheras Ahmad Safwan Zulkeflee dan Pegawai Penerangan Kawasan Parlimen Bukit Bintang, Seputeh dan Putrajaya Azri Zainal Abidin.
-SH