Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Penjawat Awam Diseru Daftar Program Imunisasi COVID-19 dengan Segera

By 27 Mac 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Penjawat awam di wilayah ini diseru untuk mendaftarkan diri untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan segera agar menjadi contoh ikutan kepada masyarakat untuk mengambil vaksin yang disediakan dengan percuma oleh pihak kerajaan.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan Rithuan Mohd Ismail, penjawat awam perlu memainkan peranan dalam menyebarluaskan nilai-nilai positif dan mesej-mesej yang penting kepada masyarakat di semua peringkat.

“Kita perlu ingatkan saudara-mara dan rakan-rakan untuk turut serta dalam program imunisasi ini, pastikan kita hadir pada waktu yang telah ditetapkan kerana apabila diri kita dilindungi, kita juga dapat melindungi yang lain terutama orang yang disayangi.

Beliau turut menyeru semua pihak agar terus memperkasa amalan pembudayaan norma baharu dalam kehidupan kita seharian dengan meningkatkan kesedaran kawalan kendiri.

“Rakyat perlu terus bekerjasama dengan kerajaan khususnya para petugas kesihatan dan penguatkuasa undang-undang untuk memastikan norma baharu diamalkan bagi memutuskan rantaian wabak ini selain memberi penekanan terhadap pelaksanaan CAPP, iaitu “Cegah, Amal, Patuh dan Pantau” kepada masyarakat terutamanya semasa umat Islam yang bakal menempuhi Bulan Ramadan serta Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya ketika merasmikan Program Malaysia Prihatin : Taklimat Isu-Isu Semasa Dan Pemvaksinan COVID-19 Bersama Ketua-ketua Jabatan di perbadanan tersebut, di sini pagi tadi.

Selain itu, Rithuan turut menyeru semua pihak melaksanakan tanggungjawab sosial bagi meningkatkan kesedaran berhubung isu-isu kepenggunaan.

Ismuni semasa menyampaikan taklimat Program Imunisasi COVID-19.

Ismuni semasa menyampaikan taklimat Program Imunisasi COVID-19.

“Agensi kerajaan lain, organisasi swasta, NGO, komuniti dan semua pihak adalah sebahagian daripada pengguna dan boleh melaksanakan tanggungjawab sosial bagi meningkatkan kesedaran berhubung kepenggunaan dan isu-isu semasa lain yang berkaitan kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Peranan kita semua sangat penting bagi membantu KPDNHEP dalam memastikan bekalan barangan keperluan asas rakyat sentiasa mencukupi dan dijual pada harga yang berpatutan disamping memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dalam situasi getir ini.

“Jadilah Rakan baik KPDNHEP untuk menyampaikan maklumat berhubung isu kepenggunaan di kawasan setempat untuk makluman dan tindakan pihak Kementerian,” katanya lagi.

Rithuan turut melancarkan kod bar pendaftaran Program Vaksinasi COVID-19 W.P Labuan hasil inisiatif Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan. Kod bar itu hanya terpakai di Labuan sahaja dan akan diletakkan di tempat strategik sekitar labuan.

Pada program itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari menyampaikan taklimat mengenai Program Imunisasi COVID-19 dan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan, Amirul Hadi Idham menyampaikan taklimat berkenaan isu-isu kepenggunaan.

-RI

Tinggalkan komen anda