Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

PKRC Pasir Gudang Tunjukkan Trend Penurunan Kemasukan Pesakit COVID-19

By 9 Mac 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamisah Sumar (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Jumlah kemasukan pesakit di Pusat Kuarantin Rawatan COVID-19 (PKRC) Pasir Gudang menunjukkan trend penurunan.

Menurut Pakar Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Masai Dr Sakinah Sulong, setakat hari ini seramai 27 orang pesakit akan discaj manakala 232 orang pesakit masih menerima rawatan di sini.

“Semenjak ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech pada 21 Februari yang lalu, trend kemasukan ke PKRC dilihat semakin menurun berbanding sebelum ini.

“Vaksin adalah salah satu ikhtiar dan kaedah penting bagi mengekang penularan wabak COVID-19 daripada terus mencengkam negara kita sekaligus mengembalikan rutin kehidupan seperti sediakala,” katanya lagi ketika ditemui pada program dialog anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Johor dengan kerjasama Ihsan Johor di PKRC Pasir Gudang, di sini semalam.

Tambah beliau, pesakit dan bekas pesakit COVID-19 disarankan untuk mengambil vaksin ini bagi menyeleraskan tindak balas terhadap jangkitan wabak ini.

“Bagi ibu mengandung dan menyusukan anak pula mereka diminta berhubung dengan doktor masing-masing untuk mengenal pasti jika mereka penerima yang sesuai bagi vaksin itu.

“Saranan itu hanya untuk menangguhkan pengambilan suntikan vaksin buat masa ini dan bukan bermakna ia tidak diperlukan atau tidak perlu diambil langsung,” ujarnya.

Sakinah turut memaklumkan bahawa ibu mengandung yang dijangkiti COVID-19 boleh menyebabkan risiko bersalin awal dan jika mereka ingin mengambil suntikan ia boleh dibuat selepas bersalin.

“Manakala ibu yang menyusukan anak jika dijangkiti COVID-19, mereka berisiko untuk menjangkiti anaknya.

“Oleh itu, mereka perlu mengambil suntikan vaksin sebagai perisai diri dan anak daripada ancaman pandemik itu,” ujarnya lagi.

Tambahnya, walaupun ketika ini jumlah yang sembuh mengatasi kes positif masih terdapat pesakit COVID-19 yang mengalami komplikasi seperti hilang selera makan, hilang deria bau dan rasa, cepat letih serta tidak boleh berjalan jauh.

“Justeru itu, kita seharusnya mengambil langkah dan pendekatan awal untuk mengelakkan penularan jangkitan ini dengan mematuhi saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari masa ke masa.

“Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 yang dilaksanakan secara menyeluruh adalah usaha kerajaan untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik ini,” katanya.

Sementara itu, pada program ini terdapat tiga fasa pemberian vaksin COVID-19 di mana fasa pertama melibatkan para petugas barisan hadapan, fasa kedua pula dikhususkan untuk warga emas, pesakit kronik dan orang kelainan upaya (OKU) manakala fasa ketiga yang akan bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 akan melibatkan individu berumur 18 tahun ke atas.

Beliau turut meminta semua masyarakat di daerah ini tampil dan mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sama ada melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/, Talian Pendaftaran Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan 1800-888-828 atau mendaftar di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

-NI

Tinggalkan komen anda