Laporan/foto: Mohd Azwan Mohamad/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Walaupun berasa sedikit janggal akibat kurangnya penonton, namun qari mewakili daerah Semporna, Mohd Ayub Maidi, 33, tetap fokus di atas pentas sehingga berjaya dinobatkan sebagai johan qari dalam Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) peringkat Negeri Sabah.
Meski tiada limpahan penonton seperti lazimnya ekoran pembudayaan norma baharu menerusi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19, usaha dakwah tetap dilakukan.
Qari yang membawakan bacaan Surah Yusuf ayat 7 dengan taranum wajib Rast dan Jiharkah yang diperdengarkannya nyata berjaya memukau 13 jemaah hakim sekali gus menempah tiket mewakili negeri Sabah ke Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, Jun depan.
“Walaupun saya pernah memenangi MTQ pada tahun 2018 dan 2019, tetapi suasana pada tahun ini amat berbeza dari segi pelaksanaan norma baharu ketika ini.
“Namun, daripada beberapa sisi positif yang kita dapat lihat iaitu jumlah penontot di facebook dalam acara ini amat memberangsangkan dan inilah bukti orang ramai masih lagi berminat dengan penganjurannya.
“Mengenai suasana penonton dalam dewan dengan amalan SOP pada saya, ia lebih selesa dan membantu para peserta untuk lebih fokus pada bacaan masing-masing,” ujarnya ketika ditemui sempena majlis tersebut di Dewan Saadah, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, peserta dari Nabawan Nadirah Syafawani sapari, 22, muncul johan kategori qariah apabila berjaya membaca ayat 8 Surah al-Maidah dengan taranum Soba dan Jiharkah dengan baik.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada orang tua saya terutamanya bapa saya yang tidak pernah jemu untuk memberi tujuk ajar bagi meningkatkan kualiti pembacaan saya.
“Saya juga bertuah kerana didampingi kawan-kawan, keluarga dan orang sekeliling yang banyak memberi galakan kepada saya untuk terus melibatkan diri dalam tilawah ini.
“Atas galakan dan dorongan inilah yang membantu saya untuk terus memberikan komitmen dan hasilnya, rezeki berpihak kepada saya pada tahun ini alhamdulillah,” akuinya dengan rasa syukur.
Nadirah Syazwani akhirnya dinobatkan sebagai johan qariah buat pertama kalinya selepas empat kali tewas di tangan kakaknya, Nabilah Syafawati Sapari, 25, dalam siri-siri MTQ terdahulu.
Nadilah Syafawani dan Nadirah Syafawati merupakan dua beradik yang seringkali menjadi pilihan jemaah hakim hingga ke peringkat akhir MTQ setiap tahun.
Kedua-dua mereka merupakan anak kepada bekas qari Sabah yang pernah ke peringkat kebangsaan, Sapari Naim.
-RI