
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/RTM (Labuan)
LABUAN, 28 Mac (Malaysiaaktif) –Progam RTM Cakna Komuniti Sinergi LABUANfm HiPicking Geotapak Tanjung Batu berjaya mengumpul sampah seberat 553 kilogram.
Menurut Pengarah Penyiaran Labuan Aminah Samsudin Mohd, antara objektif pelaksanaan program itu adalah untuk menunjukkan kecaknaan terhadap kepentingan menjaga alam sekitar kepada komuniti.
“Secara tidak langsung ia sebagai aktiviti riadah dan mempromosikan lokasi program sebagai tempat beriadah disamping mengamalkan ‘flogging culture’ iaitu bersiar siar sambil mengutip sampah.
“Program ini juga dapat memupuk budaya tolong menolong sesama masyarakat serta berganding bahu dengan agensi kerajaan yang lain serta swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selain mendekati pendengar sekaligus mempromosikan program-program RTM serta mendapatkan maklum balas pendengar siaran LABUANfm,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini semalam.
Tambahnya, lokasi itu dipilih kerana keunikannya yang tersendiri serta sudah menjadi salah satu tarikan baharu di pulau itu.
“Terdapat batu pasir fomasi belait yang berusia 15-5 juta tahun dan batuan syal formasi Temburong berusia 33-15 juta tahun yang membentuk sebahagian sistem petroleum tersingkap di pesisir pantai yang menghasilkan landskap pemandangan indah,” katanya.
Program disertai seramai 50 peserta dan mendapat kerjasama daripada Kumpulan Eco Alfa Go Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara, Tourism Malaysia dan Muzium Labuan.

Sampah sarap yang berjaya dikumpulkan sepanjang program RTM Cakna Komuniti Sinergi LABUANfm HiPicking Geotapak Tanjung Batu.
-RI