Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Program Malaysia Prihatin Mantapkan Hubungan Persekutuan, Negeri – Azmin

By 26 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang/Nur Jumi Khuzaimah Abdul Hamid (Petaling)

SHAH ALAM, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Program Malaysia Prihatin merupakan program penting dalam memantapkan hubungan kerajaan persekutuan dan negeri khususnya dalam menangani penularan COVID-19 serta memulihkan ekonomi negara.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata program tersebut telah diputuskan oleh kerajaan persekutuan untuk memberikan penjelasan dasar-dasar kerajaan.

“Program Malaysia Prihatin adalah program yang telah diputuskan oleh kerajaan persekutuan untuk kita memberikan penjelasan tentang dasar-dasar kerajaan yang telah dilaksanakan dalam tempoh setahun bagi menangani penularan COVID-19 dan usaha-usaha mencerdaskan ekonomi negara.

“Selangor adalah negeri yang penting kerana penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 23 peratus, maka hubungan antara persekutuan dan negeri Selangor ini akan terus dimantapkan.

“Kedua-duanya mempunyai matlamat sama iaitu untuk menyelamatkan nyawa rakyat, melindungi kesihatan mereka dan memulihkan ekonomi,” katanya semasa sidang media selepas program Rapat Malaysia Prihatin di sebuah hotel, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron serta dihadiri 350 ketua-ketua jabatan dan agensi di Selangor.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kerajaan Persekutuan menyuntik RM340 bilion untuk ‘kick start the economy and initiate the recovery process’ dan Pakej Rangsangan.

“Ianya telah membantu meningkatkan aktiviti ekonomi dengan mencatatkan KDNK 24 peratus lebih tinggi dalam suku keempat 2020 (RM357.4 bilion) berbanding RM289.4 bilion pada suku kedua 2020.

“Matlamat kita adalah untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan merangsang ekonomi melalui pelbagai inisiatif, bukan sahaja golongan pekerja, pemandu teksi, pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) serta anak muda mendapat perhatian.

Menurutnya, melalui inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KITA PRIHATIN, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan subsidi upah berjumlah RM13.4 bilion untuk menyelamatkan 2.7 juta pekerja dan 327,000 majikan.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali beramah mesra dengan penjawat awam Selangor yang hadir dalam program Rapat Malaysia Prihatin yang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali beramah mesra dengan penjawat awam Selangor yang hadir dalam program Rapat Malaysia Prihatin yang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam.

-RI

Tinggalkan komen anda