
Laporan/foto: Muhamad Sufe Fuddin/Muhamad Husaini Harun (Langkawi)/Fasharina Kholil (Sik)
LANGKAWI, 26 Mac (Malaysiaaktif) –Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi disambut meriah dengan penuh kesederhanaan.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari, berkata pihak polis amat bersyukur atas sambutan yang diadakan ini walaupun dalam skala yang kecil bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Kesiapsiagaan pasukan menjalankan tugas dalam norma baharu dan terdedah dengan risiko jangkitan, adalah bukti nyata kesanggupan kita mengetepikan keselamatan diri sendiri demi melindungi masyarakat daripada ancaman virus maut tersebut.
“Sekalung penghargaan dalam bentuk penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan berintegriti bagi memenuhi aspirasi masyarakat,” katanya ketika menyampaikan perutusan ketua polis negara.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk mengangkat jasa serta pengorbanan para pesara dan wira-wira PDRM yang gugur demi mempertahankan keamananan dan kedaulatan tanah air.
“Sesungguhnya, kerjasama berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia amat diperlukan, dalam usaha kita mencari titik noktah kepada COVID-19, sekaligus membolehkan kita kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala,” katanya.
Dalam pada itu di Sik, seramai 106 orang warga Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sik mewakili pelbagai pangkat dan bahagian terpilih menerima Sijil Penghargaan sempena sambutan tersebut.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Supritendan Abdull Razak Osman Abdull Razak, berkata penghargaan ini diharap dapat memberi suntikan semangat kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang.
“Penerima sijil terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam yang telah mempamerkan prestasi cemerlang.
“Kita seharusnya bersyukur kerana pada tahun ini sambutan peringatan dapat diadakan walaupun dalam skala yang kecil bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang digariskan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui, di Sik.
Jelasnya lagi, sambutan ini amat besar ertinya buat seluruh warga PDRM yang telah memerah keringat dan bergadai nyawa bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara kekal terpelihara.
“Saya juga menyanjung tinggi pengorbanan dan amat berbangga dengan semangat yang dipamerkan oleh setiap warga pasukan dalam memikul amanah Kerajaan serta menjadi sandaran harapan masyarakat untuk membendung penularan COVID-19,” ujarnya.
Terdahulu, sambutan dimulakan dengan perbarisan bagi menghormati serta mengenang tarikh penubuhan pasukan polis dan disusuli pemeriksaan kawalan kehormatan melibatkan pegawai dan anggota IPD Sik.
~RJ~