
Laporan/foto: Mastika Hablum (Jasin)
MELAKA, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Hari Wanita didedikasikan untuk menghargai pencapaian wanita dalam aspek sosial, ekonomi, keselamatan, budaya dan politik.
Isteri Yang di-Pertua Negeri Melaka Toh Puan Asmah Ab Rahman, berkata perjuangan mengangkat martabat kaum wanita perlu diteruskan.
“Tema ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran, Wanita Waja Negara’ disesuaikan dengan konteks dalam negara di mana masih terdapat beberapa halangan yang perlu ditangani dalam usaha mengangkat martabat wanita setanding dengan golongan lelaki,” ujar Asmah ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita 2021 Peringkat Negeri Melaka di salah sebuah hotel, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Banon Mat Lazim, 64, yang gigih memperjuangkan kerja-kerja amal dan kebajikan membantu masyarakat demi kesejahteraan terutamanya wanita di sini telah dipilih sebagai Tokoh Wanita Negeri Melaka bagi tahun ini.
Menurut Banon, wanita perlu menyahut cabaran sebagai satu peluang untuk mencungkil kemahiran baru bagi meningkatkan daya saing dalam diri lantas dapat memyumbang bakti kepada masyarakat dan negara.
“Apabila wanita yakin dengan kemampuan diri, tidak mustahil halangan yang ada dapat ditempuh dengan mudah.
“Rujuklah dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan sokongan dan bantuan yang bersesuaian dengan keperluan.
“Jadikanlah sifat wanita yang penyabar, tabah, bertanggungjawab dan tidak mudah mengalah sebagai senjata dan kekuatan dalam mendepani pelbagai cabaran,” ujarnya.
-KN