Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMASelangor

Warga Emas Hilang di Hospital Selayang Ditemui Mati

By 10 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Fail

SELAYANG, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas dua hari dimasukkan ke Hospital Selayang ditemui meninggal dunia terselit pada paip tingkat enam hospital berkenaan, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata mayat lelaki orang asli berusia 79 tahun itu ditemui seorang Juruteknik bertugas selepas menerima aduan bau busuk di Bilik Riser Paip.

“Juruteknik berkenaan telah pergi memeriksa bilik riser paip tersebut dan mendapati ada tangan terkulai, kemudian beliau naik ke tingkat enam sebelum menemui mayat di deretan paip tersebut.

“Setelah menerima laporan, sepasukan polis dari Balai Polis Selayang telah pergi ke tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, punca kematian si mati masih dalam siasatan namun tidak menolak kemungkinan terjatuh dari tingkat atas dan tersangkut di celap paip tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati mayat tersebut adalah seorang pesakit lelaki yang ditahan di sebuah wad pada 1 Mac lalu dan pernah dilaporkan hilang kepada pihak polis pada 3 Mac.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Selayang bagi tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Siasatan dijalankan di bawah Kes Mati Mengejut (SDR) dan polis meminta kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat kejadian tersebut menyalurkan maklumat kepada pihak kami,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda