Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kerajaan Negeri Salur Bantuan Sekali Beri Berjumlah RM4.919 Juta

By 10 Mac 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Nabila Bohari (Johor)/MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri menyalurkan bantuan sekali beri berjumlah RM4.919 juta kepada pemandu teksi dan kereta sewa, pemandu bas sekolah, pemandu e-panggilan serta penghantar makanan di seluruh negeri Johor.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar, bantuan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Agenda Johor Berkebajikan yang dibentang dalam Belanjawan Johor 2021 di bawah peruntukan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

“Seramai 4,758 pemandu teksi dan kereta sewa berdaftar akan menerima bantuan sekali beri RM500 yang membabitkan kos sebanyak RM2.37 juta manakala 2,123 pemandu bas sekolah berdaftar pula akan menerima bantuan RM500 yang membabitkan kos keseluruhan RM1.066 juta.

“Bantuan sebanyak RM100 pula akan diberikan kepada 10,293 pemandu e-panggilan di negeri ini yang membabitkan peruntukan sebanyak RM1.029 juta dan 4,455 penghantar makanan pula akan menerima bantuan sebanyak RM100 yang membabitkan kos berjumlah RM445,500,” menurut kenyataan tersebut, semalam.

Datuk Hasni Mohammad (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Ahmad Osman (tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan Bantuan Tunai Agenda Johor Berkebajikan (Belanjawan 2021) di kota Iskandar.

Hasni Mohammad (tiga dari kanan) menyampaikan cek cura kepada Ahmad Osman (tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan Bantuan Tunai Agenda Johor Berkebajikan (Belanjawan 2021) di Kota Iskandar.

Dalam pada itu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad menyampaikan bantuan kepada wakil Pemandu Teksi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Gabungan Teksi Berdaftar (Gapet), Pemandu Teksi Johor Bahru-Singapura dan Pemandu Bas Sekolah Berdaftar pada majlis ringkas di ruang legar Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Turut menerima bantuan pada majlis tersebut ialah wakil bagi pemandu e-panggilan berdaftar, dan penghantar makanan.

Pengarah Urusan Pemandu Teksi Johor Bahru-Singapura Sdn Bhd Ahmad Osman, berkata pihaknya merupakan antara golongan yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19 kerana ketiadaan penumpang akibat penutupan sempadan Johor-Singapura.

“Sejak Mac tahun lalu kami langsung tiada pendapatan kerana tidak boleh mengambil dan menghantar penumpang akibat penutupan sempadan.

Datuk Hasni Mohammad (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Azly Sham Azman (tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan Bantuan Tunai Agenda Johor Berkebajikan (Belanjawan 2021) di Kota Iskandar.

Hasni Mohammad (tiga dari kanan) menyampaikan cek cura kepada Azly Sham Azman (tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan Bantuan Tunai Agenda Johor Berkebajikan (Belanjawan 2021) di Kota Iskandar.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar dan semua pihak yang prihatin terhadap nasib kami dan berharap pandemik ini akan segera berakhir agar kami dapat meneruskan kelangsungan hidup seperti sebelum ini,” katanya.

Pemandu bas sekolah, M. Muruga turut mengakui bantuan ini amat bermakna bagi golongan sepertinya kerana dalam tempoh setahun, ramai antara mereka yang hilang punca pendapatan akibat penutupan sekolah.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa mendengar keluhan pengusaha-pengusaha bas sekolah dan membantu meringankan beban kami melalui pemberian bantuan ini,” ujarnya.

Seorang penghantar makanan, Azly Sham Azman yang ditemui berkata bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang terjejas untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Dengan bantuan ini, sekurang-kurangnya ia boleh menampung kos baik pulih motosikal yang digunakan saya untuk menghantar makanan,” ujarnya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Mazlan Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, dan Infrastruktur Negeri Solehan Badri, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan, dan Ketua Pegawai Eksekutif PAJ Ramli Abdul Rahman.

-NI-

Tinggalkan komen anda