
Laporan/foto: Hazlinah Samsir (Kota Kinabalu)
PUTATAN, 11 April (Malaysiaaktif) – Sebanyak 61,000 bakul makanan permai bakal diagihkan di Sabah dalam tempoh sebulan bermula 5 April lalu.
Menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir Shahelmey Yahya, bakul makanan permai adalah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan sasar.
“Bantuan ini diumumkan oleh Perdana Menteri pada awal tahun ini untuk masyarakat yang menerima bantuan daripada JKM.
“Setakat ini, lebih 1,000 bakul telah disampaikan kepada penerima yang layak,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Peduli Keluarga di Dewan PPR Taman Sri Serigai, di sini semalam.

ZIARAH….Shahelmey (dua dari kiri) menziarahi lima buah rumah penduduk PPR Taman Sri Serigai dan menyampaikan Bakul Makanan Permai.
Menurutnya, program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) itu bertujuan untuk menyampaikan perkhidmatan kepada golongan terjejas pandemik COVID-19.
“Antara aktiviti yang diadakan adalah pameran, pemeriksaan kesihatan serta pemberian baucar subsidi pemeriksaan mamogram.
“Dengan adanya program seperti ini, kerajaan dapat memberi maklumat kepada penduduk mengenai bantuan yang disediakan kerajaan sekali gus membantu dalam pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat,” jelas beliau.
Hadir sama, Pengarah LPPKN Sabah Dennis Chai dan UPPM Tanjung Keramat Sufian Matin.
-RI