Skip to main content
Berita UtaraKedahMA

Ayer Hangat Village Berwajah Baharu, Tingkatkan Industri Pelancongan Langkawi

By 3 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)

LANGKAWI, 3 April (MalaysiaAktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)  bersama syarikat DXN Agrotech Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama bagi penjenamaan semula produk pelancongan Ayer Hangat Village (AHV).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LADA Dr  Hezri Adnan, kolaborasi ini berjaya mentransformasikan Ayer Hangat Village dengan identiti dan pengisian yang lebih menarik untuk diperkenalkan kepada pelancong.

“AHV berwajah baharu merupakan satu inisiatif yang telah diperkenalkan di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) dan inisiatif yang diperkenalkan ini adalah bertepatan dengan strategi penjenamaan semula Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang selamat, bersih dan lestari.

“Selepas 25 tahun beroperasi, LADA berpandangan Telaga Ayer Hangat perlu diberi penjenamaan semula dengan menonjolkan keakraban hubungan budaya Melayu bersama-sama alam semulajadi di sekelilinginya, oleh yang demikian LADA dan syarikat DXN Agrotech Sdn. Bhd. bekerja sama untuk memberi AHV suatu sentuhan baharu.

“AHV berwajah baru memperkenalkan tiga produk utama iaitu kolam air panas air masin semula jadi, pertunjukan dan persembahan kebudayaan dan kesenian tradisional Melayu lama dan produk pelancongan baharu berasaskan ekopelancongan iaitu kampung cendawan dan kolam ternakan lobster air tawar,” ujarnya semasa majlis pelancaran tersebut di pusat pelancongan tersebut, di sini semalam.

Sanusi melakukan gimik perasmian bagi Majlis Pelancaran Ayer Hangat Village Berwajah Baharu semalam.

Sanusi melakukan gimik perasmian bagi Majlis Pelancaran Ayer Hangat Village Berwajah Baharu semalam.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata inisiatif yang dilaksanakan LADA ini dengan kerjasama penggiat industri pelancongan ini menerima sambutan baik kerajaan.

“Adalah menjadi harapan saya agar usahasama ini dapat dijadikan penanda aras dan pemangkin kepada kerjasama agensi awam dan swasta dalam memperkasa industri pelancongan di pulau ini,” katanya.

Selain itu, Sanusi turut berharap hasil kerjasama ini dapat menaikkan semula zaman kegemilangan Ayer Hangat Village.

Salah seorang pengusaha produk Mengkuang  yang ditemui, Zaliha Ismail, 47, berkata program pada hari ini dapat mempromosikan produk tempatan kepada pelancong luar.

“Saya berharap lebih ramai pelancong luar yang datang ke Langkawi untuk mendapatkan produk-produk hasil pengusaha tempatan agar dapat meningkatkan pendapatan dan menjana ekonomi di sini,” katanya.

~RJ~

Tinggalkan komen anda