Skip to main content
Berita TimurTerengganu

IPGKSM Semarakkan Program Jom Baca Bersama 10 Minit

By 23 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Taufiq Firdaus Md. Nor (Besut)

BESUT, 23 April (Malaysiaaktif) – Pukul 11.00 pagi semalam merakamkan detik bersejarah di Malaysia apabila program ‘Jom Baca bersama 10 minit’ berlangsung secara serentak di seluruh negara yang turut sama disertai oleh warga Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM) di Lobi Perpustakaan Al Basuti dengan tema ‘Baca Itu Terapi’.

Pengarah IPGKSM, Dr. Ahamad Rahim, telah menyempurnakan perasmian program tersebut yang di susun dengan pelbagai acara sampingan seperti Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral IPGKSM, Dr. Zamri Rajab yang bertajuk Quranalogy Ramadan dan dihadiri oleh semua warga IPGKSM yang turut disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook IPGKSM.

Menerusi ucapan perasmian, Dr. Ahamad menyeru agar semua warga IPGKSM menjadikan budaya membaca itu sebagai satu amalan dalam kehidupan seharian.

Ucapan Perasmian oleh Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut Terengganu (IPGKSM), Dr. Ahamad Rahim.

Ucapan Perasmian oleh Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut Terengganu (IPGKSM), Dr. Ahamad Rahim.

“Banyak khazanah bahan bacaan terdapat di Perpustakaan Al Basuti yang boleh dijadikan bahan bacaan.

“Generasi sekarang ini sudah mula kurang mengunjungi perpustakaan disebabkan wujudnya media lain yang telah menggantikan perpustakaan seperti gajet dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada semua warga agar terus mengunjungi perpustakaan demi menghidupkan kembali gedung khazanah ilmu yang semakin dilupai.

Pengarah IPGKSM, Dr. Ahamad Rahim (tiga dari kiri) telah menyempurnakan gimik perasmian progam ini bersama tetamu kehormat iaitu warga tertinggi pentadbiran IPGKSM.

Pengarah IPGKSM, Dr. Ahamad Rahim (tiga dari kiri) telah menyempurnakan gimik perasmian progam ini bersama tetamu kehormat iaitu warga tertinggi pentadbiran IPGKSM.

Program Jom Baca Bersama 10 Minit diteruskan dengan acara fotografi di mana saat itu semua warga membaca bahan bacaan yang telah dibekalkan oleh pihak Perpustakaan Al Basuti.

Bahan bacaan tersebut adalah merupakan buku-buku pinjaman berkelompok Perpustakaan Negara Malaysia dan sebanyak 760 biji buku telah dibekalkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia untuk dijadikan bahan bacaan tambahan bagi keperluan semua warga IPGKSM.

Program bersama murid-murid Prasekolah Tunas Madani yang membawa tema ‘Kami Suka Baca’ telah menutup tirai program ‘Jom Baca bersama 10 minit’.

Menerusi acara ini, murid-murid prasekolah dibawa menyanyi bersama-sama dan terdapat juga sesi bercerita.

-ii-

Tinggalkan komen anda