
Laporan/foto: Musliha Yusof (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 23 April (Malaysiaaktif) – Hanya dengan meniaga pelbagai masakan tradisi di pasar pagi Federal Agriculture Marketing Authority (FAMA), sepasang suami isteri warga emas mampu meraih pendapatan sehingga RM1,000 sehari.
Menurut Jamilah Mohd Idris, 62, beliau mewarisi kepakaran makanan tradisi seperti serunding kelapa, botok-botok, lepat dan telur pindang melalui arwah bapanya sejak kecil lagi.
“Permintaan terhadap masakan tradisi seperti kuih lepat, telur pindang dan botok-botok amat tinggi.
“Kini hampir 28 tahun saya mewarisi masakan arwah ayah dan saya akur bahawa rezeki kami adalah melalui masakan tradisi,” ujarnya ketika ditemui di pasar pagi FAMA, di sini, semalam.
Tambah beliau, walaupun kini negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19, namun permintaan dan tempahan terhadap serunding dan telur pindang masih diterima.
“Keunikan telur pindang adalah pelbagai jenis ramuan termasuk beberapa jenis herba yang dicampurkan dengan air rebusan telur bagi mendapatkan rasa yang lemak masin dan warna agak coklat kehitaman.
“Orang Johor pasti tahu cara penyediaan telur pindang yang agak remeh yang mana telur perlu direbus dengan menggunakan api yang kecil selama 24 jam bersama daun senduduk, daun salam, daun serai wangi dan pelbagai lagi,” ujarnya.
Jamilah berkata, walaupun zaman telah berubah, namun makanan tradisi yang mempunyai tarikan tersendiri dan tetap mendapat permintaan yang tinggi oleh masyarakat di sini.
Suluman Mohd Nor, 67, memaklumkan kerja-kerja menyediakan makanan tradisi memerlukan kecekalan dan kesabaran bagi menghasilkan kualiti yang baik dan sedap.
“Saya juga ada menanam pokok pisang yang mana hasilnya boleh dijual bagi menambahkan sumber pendapatan kami.
“Buah pisang juga mempunyai permintaan yang tinggi oleh masyarakat setempat,” katanya lagi.
Beliau berpendapat, bagi mendapatkan rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup, kita tidak seharusnya mengalah dan jemu berusaha, setiap orang mampu merasai kemanisan kejayaan.
-NI-