
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Nurul Ain Johari (Kulai)
KULAI, 14 April (Malaysiaaktif) – Program Kembara Komuniti Basmi COVID-19 anjuran Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah Kulai merupakan salah satu usaha kerajaan dalam membantu golongan sasaran mendaftar diri sebagai penerima vaksin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Tosrin Jarvanthi, program ini mendapat sambutan yang baik daripada penduduk luar bandar yang kebanyakkannya kurang mahir menggunakan aplikasi MySejahtera dan pendaftaran di laman sesawang yang disediakan.
“Penggunaan aplikasi MySejahtera untuk pendaftaran dilihat kurang berkesan terutama dalam kalangan penduduk luar bandar, jadi perlu ada alternatif lain bagi membantu mereka mendaftarkan diri.
“Kerjasama daripada pelbagai pihak dapat membantu masyarakat luar bandar untuk mendaftar bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan mendapat maklumat yang tepat dan sahih berkaitan dengan vaksin ini,” katanya yang ditemui pada Majlis Penutup Kembara Komuniti Basmi COVID-19 Daerah Kulai di Dewan Raya Felda Taib Andak, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, program yang bermula pada 31 Mac dan berakhir pada 12 April 2021 ini telah mengunjungi beberapa lokasi pilihan seperti Kampung Murni Jaya Mukim Sedenak, Flat Temenggong, Kompleks Penghulu Mukim Sedenak dan Felda Taib Andak.
Ketua Kampung Felda Taib Andak Rohaizat Abdullah berkata, program seumpama ini sangat sesuai diadakan di kawasan-kawasan lain dalam daerah ini khusus kepada penduduk luar bandar.
“Ini merupakan medium terbaik bagi memastikan masyarakat di sini mendapat maklumat yang tepat berkaitan PICK dan secara tidak langsung memudahkan mereka untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.
“Kita amat mengalu-alukan usaha Kembara Komuniti Basmi COVID-19 dalam membantu mendaftarkan para penduduk kampung malah semua pihak harus memainkan peranan sedemikian,” ujarnya.
Pada majlis ini, Tosrin turut menyampaikan Bantuan Kewangan e-Kasih Johor Berkebajikan kepada penerima yang layak mendapat bantuan yang mana inisiatif ini merupakan keprihatinan kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Antara agensi kerajaan yang terlibat adalah Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Penerangan Daerah, Pejabat Tanah Daerah, Majlis Perbandaran Kulai dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kulai Atika Idayu Othman.
-NI-