Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Shaik Mohd Fikri Shaik Ismail (Setiu)
SETIU, 14 April (Malaysiaaktif)– Kerajaan Negeri Terengganu melalui Unit Perancang Ekonomi telah mengenalpasti dua buah tanah terbiar di Daerah Setiu untuk dibangunkan sebagai projek pertama bawah Program Pemulihan Tanah Terbiar.
Pegawai Daerah Setiu Rosli Latif, berkata pasukan petugas yang digerakkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu bagi mengenal pasti tanah-tanah terbiar di negeri ini untuk dibangunkan agar tanah-tanah tersebut dapat dimanfaatkan lantas membawa pulangan ekonomi kepada negeri ini.
“Dua buah tanah terbiar tersebut adalah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Aman yang berkeluasan 370 hektar manakala RTB Kampung Rahmat Tambahan melibatkan keluasan 246 hektar yang mana tanah-tanah tersebut masih terbiar tanpa diusahakan,” katanya.
Rosli berkata demikian ketika ditemui dalam Taklimat Program Pemulihan Tanah Terbiar RTB Pengkalan Aman dan RTB Kampung Rahmat Tambahan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu (MDS) Sungai Tarom, di sini pagi kelmarin.
Katanya, kerajaan negeri memandang serius isu tanah-tanah terbiar di negeri ini kerana ia bukan sahaja merugikan pemilik-pemilik tanah tersebut, bahkan kerajaan negeri juga turut merasa kerugian kerana tanah-tanah terbiar tersebut berpotensi menjadi pengeluar makanan bagi sektor pertanian di Terengganu.
“Justeru kerajaan negeri memerlukan persetujuan tuan-tuan tanah tersebut untuk memudah cara bagaimana kerajaan negeri dapat membantu mengusahakan tanah-tanah tersebut agar tanah tersebut tiadak akan terus terbiar tanpa diusahakan.
“Oleh yang demikian, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. (TADC) mengambil inisiatif melalui program ini untuk memberi taklimat dan idea-idea berguna bagi para pemilik tanah untuk memberi lembaran baru supaya mereka mengusahakan tanah-tanah tersebut melalui produk-produk pertanian yang mampu memberikan pulangan ekonomi,” katanya.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu Ahmad Rizal Mamat serta Pengurus Besar TADC Azhar Jusoh.
-ii-