
Laporan/foto: Shah Hood/MedKom Johor (Johor)
JOHOR BAHRU, 20 April (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri memberi sokongan penuh pelaksanaan Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja (MEKAR) dalam memberi kesedaran kepada masyarakat setempat.
Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, program anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini akan menjadi menjadi aset atau rujukan penting dalam usaha membendung peningkatan kes jenayah yang melibatkan golongan berkenaan.
‘’Pelaksanaan MEKAR boleh dianggap sebagai salah satu langkah awal untuk mencegah aktiviti jenayah dalam kalangan generasi muda.
“Program ini boleh dirangka sebagai satu modul yang mempunyai elemen kognitif serta merangkumi unsur psikologi dan kaunseling yang mudah difahami oleh anak-anak muda,” katanya ketika melancarkan permulaan Program MEKAR: Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja PDRM Johor di Universiti Teknologi Malaysia, di sini semalam.
Tambah beliau, MEKAR juga mempunyai elemen digital yang bertepatan dengan salah satu daripada tujuh Ikhtiar Makmur Johor.
“Kerajaan negeri akan memperluaskan inisiatif ini melalui salah satu daripada tujuh Ikhtiar Makmur Johor iaitu Agenda Digital Johor yang bertujuan untuk menjadikan digital ini sebagai salah satu gaya hidup,” ujarnya.
MEKAR adalah program yang julung kali diadakan di negara ini hasil kerjasama antara PDRM dan UTM bagi diguna pakai oleh setiap pegawai perhubungan sekolah sebagai alat bantuan ceramah.
Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Naib Canselor UTM Prof. Datuk TS Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor SAC Alzafny Ahmad.
-NI-