
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 11 Apr (Malaysiaaktif) –Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berusaha memupuk pengguna supaya lebih bijak ketika berbelanja dan mengetahui hak-hak mereka.
Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Gombak Azli Aripin, berkata pada tahun ini pihaknya melaksanakan Program Sembang Pengguna yang dihadiri peserta dalam jumlah yang kecil dan secara santai.
“Peserta yang hadir dalam jumlah kecil agar maklumat yang disampaikan lebih jelas berkenaan isu-isu kepenggunaan dan dadakan secara secara santai.
“Kita sembang santai iaitu sambil makan, pengguna boleh bertanya hal berkenaan kepenggunaan seperti isu kenaikan harga barang, monopoli harga dan sebagainya.
“Kami juga akan ajar pengguna cara membuat sebarang aduan menerusi laman sesawang atau menerusi telefon serta cara membuat tuntutan sekiranya ditipu,” katanya semasa Program Sembang Pengguna di Kampung Nakhoda, di sini hari ini.

Azli (kanan) melihat poster Vaksin COVID-19 yang diedar pihak Jabatan Penerangan Daerah Gombak yang bekerjasama menjayakan Program Sembang KPDNHEP.
Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Gombak Khairul Shahrizal Ismail dan Pengerusi Majlis Belia Selangor (MBS) Daerah Gombak Mohd Fahmy Alfian.
Mengulas lanjut, beliau berkata KPDNHEP juga berperanan memantau peniaga-peniaga agar patuh kepada akta-akta KPDNHEP.
“Sekiranya peniaga menjual barang kawalan perlu mendapatkan lesen dan diletakkan tanda harga, sekiranya gagal mereka boleh dikompaun.
“Pengguna boleh mengemukakan sebarang masalah atau isu kepenggunaan dan akan dijawab oleh pegawai-pegawai kami,” katanya.
Menurutnya, program tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Penerangan Gombak yang menyalurkan maklumat dasar-dasar kerajaan khususnya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang berlangsung.
-RI