Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 11 April (Malaysiaaktif) – Seramai 35 keluarga mangsa banjir di Daerah Kusial, Tanah Merah menerima bantuan bagi meringankan beban penduduk sekitar yang terjejas dalam kejadian banjir baru-baru ini.
Menurut Ketua Penolong Jajahan dan Tanah (Pembangunan) Tanah Merah Sofian Amir Che Soh, mangsa banjir ini adalah yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melayakan mereka mendapat bantuan yang disediakan kerajaan.
“Mangsa banjir yang berpindah ke PPS dan mendaftar dengan JKM semasa berlakunya kejadian banjir baru-baru ini layak menerima bantuan untuk meringankan beban mereka.
“Program ini akan dibuat secara berskala kecil bagi memudahkan kehadiran penerima bantuan serta mengawal penularan wabak COVID-19 dengan pematuhan amalan SOP yang ketat,” katanya ketika ditemui sempena majlis Program Bantuan Banjir di Pejabat Penggawa Ulu Kusial, di sini hari ini.
Sementara itu Penggawa Mukim Ulu Kusial, Fazrul Amin Majid berkata mereka yang dikenal pasti berpindah ke PPS yang ditetapkan sahaja layak menerima bantuan ini.
“PPS yang disediakan kerajaan seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Kulim, SK Tebing Tinggi, PPS Kampung Gobek dan PPS Kuala Tiga diberi bantuan untuk meringankan beban ditanggung pada musim penularan COVID-19 ini,” ujarnya.
Seorang penerima bantuan banjir, Norihan Musa, 30, dari Kampung Sokor, mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang sudi memberi sumbangan.
“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak atas bantuan ini yang pastinya dapat meringankan beban ditanggung,” kata ibu empat cahaya mata ini.
Bagi Siti Mariam Harun, 66, dari Kampung Batu Garam, Ulu Kusial bersyukur kerana tidak menduga menerima bantuan ini.
“Bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan yang menghulurkan bantuan ketika ini, maklumlah sekarang ini semuanya susah hendak mencari makan,” katanya.
Bantuan berbentuk barangan dapur seperti minyak masak, beras, gula serta alas lantai diberikan setiap keluarga yang berpindah dan pendaftaran vaksin COVID-19 untuk mereka yang hadir.
-RI