
Laporan/foto: Mohd Azwan Mohamad/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 23 April (Malaysiaaktif) – Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan salah satu usaha dalam menggalakkan pembangunan ekosistem seni visual negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sri Nancy Shukri, berkata kerjasama yang bakal dilaksanakan adalah menerusi Galeri Azman Hashim yang mula dibina pada 2017 dan siap pada tahun 2020.
“Galeri ini akan membuka lebih banyak ruang untuk artis, pengkarya seni dan organisasi khususnya di Sabah untuk membuat pameran, mempromosi serta menjual karya seni atau produk berkaitan kesenian.
“Selain itu, usaha ini juga dapat meningkatkan lagi pengetahuan baharu masyarakat tentang bidang serta program yang berkonsepkan ilmiah,” katanya dalam Program Jejak Seni Malaysia di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini semalam.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin (kiri) dan Ketua Pengarah LPSVN (kanan) bergambar bersama MoU yang ditandatangan sambil diperhati Nancy (dua dari kiri) dan Hajiji (dua dari kanan).
Mengulas mengenai sektor pelancongan, menurut Nancy, ia merupakan antara industri yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19 dan turut menjejaskan komponen kesenian serta rantaiannya.
“Menjadi keutamaan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) untuk memastikan pengurusan seni visual dalam norma baharu ini terus memberikan manfaat kepada masyarakat terutamanya penggiat seni visual.
“Justeru, Galeri Azman Hashim ini juga antara harapan agar aktiviti kesenian di Sabah dapat dirancakkan semula serta menyokong perkembangan seni visual negara sekaligus meningkatkan aktiviti pelancongan di negeri ini,” ujarnya.
Terdahulu, Nancy turut mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor di bangunan yang sama.
-RI