Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 23 April (Malaysiaaktif) – Umum mengetahui lemang merupakan salah satu hidangan makanan tradisi ketika musim perayaan di negara ini dan kebiasaannya para peniaga akan menjual lemang apabila bulan Ramadan tiba.
Namun begitu, situasi ini berbeza dengan lemang di Kijal yang terletak di antara Kerteh dan Chukai kerana lemang di sini yang lebih dikenali dengan nama ‘Lemang Kijal’ oleh masyarakat setempat dijual saban hari.
Terdapat hampir 20 buah deretan kedai yang berniaga lemang sepanjang tahun di sini yang telah diusahakan secara turun temurun hampir 30 tahun lalu.
Keistimewaan lemang Kijal ini ialah para peniaga menggunakan resipi rahsia warisan turun-temurun keluarga dan dijual dengan harga yang agak murah iaitu RM10 untuk tiga batang lemang bergantung kepada saiz buluh tersebut.
Menurut Zabedah Ismail, 50 salah seorang peniaga lemang di sini berkata harga lemang yang dijual olehnya bergantung kepada saiz buluh.
“Semakin kecil buluh lemang ini semakin murah harganya dan di samping menjual lemang, saya juga menjual rendang daging, serunding yang diambil dari kampung Laut, Kelantan untuk menarik lebih ramai lagi pelanggan ke kedai saya.
“Sebelum adanya larangan rentas negeri, terdapat pelanggan dari Kuantan datang ke sini semata-mata ingin membeli lemang,” katanya yang ditemui di gerai perniagaannya, di sini semalam.
Bagi seorang lagi peniaga, Salamiah Ismail, 60, pula hasil jualan lemang secara purata yang diperolehi adalah antara RM300 hingga RM600 sehari.
“Walaupun penat bermain dengan asap dan cuaca yang panas tetapi saya berpuas hati kerana lemang yang dijual habis.
“Hujung Ramadan dan awal Syawal kebiasaanya hasil jualan meningkat beberapa kali ganda daripada biasa tapi saya sudah bersedia untuk itu cuma ada sedikit masalah kerana kesukaran untuk mendapatkan bekalan buluh untuk membuat lemang,” katanya.
Beliau berkata kebiasaannya peniaga di sini membeli buluh dari kampung Pasir Raja, Dungun namun ketika ini buluh agak berkurangan dan menjadi kesukaran yang bakal mereka hadapi terutamanya menjelang hujung bulan Ramadan.
“Saya harapkan agar bekalan buluh tidak putus menjelang pertengahan dan hujung bulan ramadan ini,” tambah Salamiah.
-ii-