Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Mohd Nasrie Tapisil (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 23 April (Malaysiaaktif) – Anak syarikat Penebangan Malaysia, MASwings kini menawarkan pakej MASwings Travel Pass bagi penerbangan domestik.
Ketua Pegawai Operasi Nasaruddin A. Bakar, berkata promosi tersebut memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati harga tambang yang berpatutan dengan tiga kali perjalanan dalam negara.
“Pakej MASwings Travel Pass ini membolehkan orang ramai melancong dalam Malaysia sebanyak tiga kali perjalanan dengan menggunakan satu pas sahaja.
“Baucar ini sah sehingga satu tahun dan harga yang kita tawarkan bermula RM499 sahaja,” jelas beliau.
Mengenai perkembangan operasi syarikat penerbangan terbabit, Nasaruddin mendedahkan, pihaknya antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menurut beliau, MASwings kini mengurangkan 50 peratus operasi penerbangan namun masih mengekalkan destinasi yang sama.
“Ketika ini MASWings mengurangkan 70 peratus operasi bagi pesawat ATR dan 20 peratus bagi pesawat Twin Otter.
“Biasanya kita ada 110 penerbangan tetapi kini hanya beroperasi dengan 50 hingga 60 penerbangan sahaja,” ujarnya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pada Khamis.
Tambahnya, rombongan kunjungan yang disertai Ketua Jualan Komersil Malaysia Timur, Nur Hayati Aziz Rashid itu bertujuan memperkenalkan kepimpinan syarikat yang baharu.
-RI