
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)
PORT DICKSON, 9 Apr (Malaysiaaktif) – Pilihan Raya Kampus (PRK) Sesi 2021/2022 Politeknik Port Dickson (PPD) dilaksanakan sepenuhnya melalui platform dalam talian institut pengajian tersebut.
Pengurus Pilihan Raya PRK PPD Hairol Samsol Ithnin, berkata PRK ini berlangsung serentak di semua politeknik dan kolej komuniti di Malaysia secara dalam talian yang mula dibuka pada pukul 8.30 pagi dan ditutup pada pukul 4.00 petang.
“Pelaksanaan PRK ini adalah bagi menentukan pemilihan ahli Majlis Perwakilan (MPP) bagi institusi masing-masing dan keseluruhan proses pilihan raya seperti proses penamaan calon, pemilihan calon layak bertanding, proses pengundian sehinggalah proses pengiraan undi beroperasi sepenuhnya melalui sistem atas talian iaitu Sistem e-Pilihan Raya Kampus (e-PRK),” katanya ketika ditemui di institut tersebut.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Port Dickson Mohamad Isa Azhari, berkata PRK ini adalah penting kepada semua pelajar PPD dalam pemilihan pemimpin yang berwibawa.
“Selain itu, ianya dapat membantu pihak pengurusan PPD dalam mengenal pasti segala keperluan dan kebajikan yang diperlukan oleh para pelajar di PPD,” katanya selepas mengumumkan keputusan PRK PPD 2021 secara dalam talian melalui media rasmi PPD seperti saluran Youtube dan juga Facebook Live, di sini semalam.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua calon yang bertanding dalam PRK Politeknik Port Dickson 2021/2022.
Bagi Nur Aiza Maisarah Jasidi, pelajar Diploma Sains Kesetiausahaan berkata pelaksanaan system e-PRK yang digunakan semasa PRK PPD kali ini sangat bagus.
“Pada saya, kita dapat menjaga banyak hal seperti menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) di waktu pandemik COVID-19 yang mana pelajar tidak perlu hadir secara bersemuka untuk mengundi kerana mereka boleh mengundi dari mana sahaja mereka berada,” katanya.
Bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Port Dickson bagi tahun 2021, seramai 5,174 orang pelajar berdaftar layak mengundi yang turut terdiri daripada pelajar yang terlibat dengan latihan industri serta pelajar yang tiada di kampus kerana mengikuti kelas dan kuliah.
Calon yang memenangi tujuh kerusi umum adalah berdasarkan tujuh jumlah undian tertinggi yang akan membentuk ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Port Dickson Sesi 2021/2022.
-FF