Laporan/foto: Nizwan Daini (Kota Kinabalu)
KENINGAU, 9 April (Malaysiaaktif) – Pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 April ini tidak menjadi halangan buat para peniaga kecil di sekitar kawasan sini untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam norma baharu.
Penjual sayur-sayuran, Hana Wasrin, 31, mengambil inisiatif untuk menjual sayur-sayuran segar secara dalam talian iaitu menerusi media sosial sebagai alternatif lain menambah pendapatan harian.
Menurutnya, pendapatannya harian sebelum dan selepas pelaksanaan PKP memang agak berbeza.
“Walaupun demikian, itu tidak menghalang kami untuk berniaga seperti biasa.
“Kami bersyukur atas keprihatinan kerajaan kerana memberikan insentif Bantuan Prihatin kepada peniaga kecil seperti kami untuk menambah serba sedikit pembelanjaan harian serta membantu menambah modal perniagaan sepanjang tempoh sukar ini.
“Saya berharap bantuan daripada pihak kerajaan sekarang dapat diteruskan bagi peniaga yang terjejas,” katanya yang mengusahakan bekalan sayur-sayuran segar selama enam tahun di Pasar Pagi Keningau.
Bagi Ginus Lamimit, 45, penjual ikan segar di pasar pagi selama 11 tahun tidak terlepas peluang untuk berniaga secara dalam talian dengan mengiklankan jualan ikan mentah dengan rakan-rakan melalui Whatshapp dan Facebook.
Katanya, pelanggan membeli secara atas talian akan menghubunginya untuk minta agar bekalan ikan segar dapat dihantar ke tempat kediaman mereka.
“Lagipun, sepanjang pelaksanaan PKP, waktu operasi pasar pagi pada pukul 6.00 pagi sehingga 2.00 petang saja dan buat masa ini, pembekal luar dari Kudat dan Kota Kinabalu menghantar bekalan ikan ke Keningau hanya dua kali dalam seminggu.
“Waktu perniagaan kami terhad dan stok ikan segar kami tidak selalu habis dijual,” jelasnya.
Walaupun demikian, Ginus merasa lega atas pemberian bantuan tunai RM200 secara sekali beri yang diberikan kerajaan negeri Sabah kepada semua penjaja bawah kendalian Majlis Daerah Keningau (MDK) dan bantuan prihatin rakyat daripada kerajaan Malaysia.
“Sekiranya PKP ini diteruskan, saya berharap bantuan daripada kerajaan diteruskan agar dapat membantu peniaga-peniaga kecil untuk terus berniaga,” katanya.
Manakala bagi pengusaha kedai jahit sejak 12 tahun lalu, Napisah Malih, 47, sejak PKP dilaksanakan kedai jahitnya tidak lagi menjadi kunjungan orang ramai.
“Ketika ini, saya menerima tempahan pelanggan melalui secara atas talian kerana kedai jahit sepanjang tempoh PKP tidak dibenarkan untuk beroperasi,” jelasnya yang ditemui di premis perniagaannya, di sini.
Tambah beliau, semua bekalan kain dan peralatan menjahit semuanya lengkap kerana pembelian bekalan peralatan dan kain dilakukan secara dalam talian.
“Saya berharap agar kerajaan dapat terus memberi bantuan dan perhatian kepada peniaga kecil serta berharap pandemik COVID-19 ini beransur pulih agar para peniaga dapat meneruskan perniagaan seperti sediakala,” katanya.
-RI