Laporan/foto: Abd Aziz Osman (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 9 April (Malaysiaaktif) – Majlis Tilawah dan Menghafal al-Quran kali ke-64 peringkat negeri Pulau Pinang bagi tahun 1442 hijrah berjaya menarik hampir 1000 orang hadirin yang bertemakan “Ummah Rabbani Negara Harmoni” iaitu bermatlamat untuk mewujudkan gagasan plan pembangunan 10 tahun umat Islam Negeri Pulau Pinang umumnya dan negara Malaysia amnya.
Ketua hakim Majlis Tilawah dan Hafazan Negeri Pulau Pinang kali ke-64, Sheikh Rosli Othman, berkata keseluruhan purata markah peserta pertandingan tilawah dan hafazan kali ini berlaku sedikit penurunan berbanding tahun lepas iaitu sekitar 77.2% berbanding 80% pada tahun lepas.
“Namun kualiti yang ada pada pemenang tempat tiga teratas adalah meningkat dan sangat baik.
“Seramai 18 orang juri telah dilantik bagi mengadili peserta pertandingan yang terdiri daripada sembilan juri tilawah dan sembilan juri kategori hafazan yang telah dibahagikan mengikut kepakaran masing-masing iaitu tajwid, taranum, fasahah dan kelancaran hafalan,” katanya semasa ditemui sempena majlis tersebut di Masjid Abdullah Fahim, di sini semalam.
Bagi kategori Qari, johan tilawah disandang oleh Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir, manakala kategori Qariah dimenangi oleh Marzian Mohd Deli yang membolehkan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5000, piala pusingan, piala iringan, hadiah iringan dan pakej menunaikan umrah.
Sementara itu, bagi kategori hafazan juzuk 1 hingga 30, johan dimenangi oleh Mohamed Azim Mohamed Ibrahim dari Madrasah Mifhatul Irfan yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah sebanyak RM5000, hadiah iringan dan pakej menunaikan umrah.
Turut hadir ke majlis, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Zakiyuddin Abd Rahman.
-ii-