
Laporan/foto: Kuan Tatt Seng (Daerah Timur Laut)
GEORGETOWN, 12 April ( Malaysiaaktif) – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyasarkan 250,000 ahli Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara mendaftar bagi menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata KRT adalah jentera perpaduan yang dapat membantu kerajaan menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih mengenai pengambilan vaksin COVID-19 kepada peringkat akar umbi.
“Penyebaran maklumat sahih dan tepat mengenai program vaksin COVID-19 dapat membantu menambah keyakinan dan seterusnya menaikkan jumlah pendaftaran yang disasarkan bagi mencapai imuniti kelompok bagi rakyat Malaysia.
“Difahamkan terdapat sebanyak lebih 500 ahli dari 446 KRT hadir hari ini dan Program Malaysia Prihatin :Komuniti KRT- Vaksin Untuk Semua & Gaya Hidup Sihat sebagai tema menyasarkan pendaftaran vaksin oleh 250,000 ahli KRT di seluruh Malaysia,” katanya dalam Majlis Perasmian Program Malaysia Prihatin Memperkasa Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga Negeri Pulau Pinang di sebuah hotel, di sini baru-baru ini.

Terdapat sebanyak 500 ahli KRT hadir Majlis Perasmian Program Malaysia Prihatin: Komuniti KRT- Vaksin Untuk Semua & Gaya Hidup Sihat.
Menurut Halimah, program ini dijalankan oleh komuniti KRT melibatkan perkongsian maklumat mengenai vaksin COVID-19 dan bantuan pendaftaran vaksin dijalankan melalui applikasi MySejahtera, laman web pendaftaran vaksin dan pendaftaran secara manual dengan mengisi borang.
Pengerusi KRT Van Praagh, Chen Min Chieh, 51, berkata program ini akan memberi manfaat kepada warga Pulau Pinang dan semua perlu mengembleng tenaga dalam mencapai objektif kerajaan dan imuniti kelompok.
Manakala, Timbalan Pengerusi KRT Kg Kolam, Tan Hing Teik, 40 memuji usaha KPN yang menjadikan KRT sebagai platform dalam memasarkan maklumat benar kepada orang ramai berkaitan vaksin COVID-19.
Pada program turut diadakan pengisian Pelancaran Buku Pelan Permerkasaan Kepimpinan Rukun Tetangga Negeri Pulau Pinang, Penyampaian Geran RT berjumlah RM 2,676,000 kepada pengerusi, penyerahan ves keselamatan dan walkie talkie kepada wakil KRT daripada lima daerah.
Turut hadir bersama Timbalan Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Ti Lian Ker, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi Dan Pemerkasaan Komuniti Negeri Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Perpaduan Negara.
-ii-