Laporan/foto: Abidin A. Ghani (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 19 April (Malaysiaaktif) – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Felda Bukit Bading, di sini mengambil inisiatif memulakan projek tanaman cili menggunakan sistem fertigasi bawah peruntukan yang disediakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Menurut Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Bukit Bading yang juga peneraju projek berkenaan, Mohd Tarmize Abdullah, 49, FELDA telah menyediakan peruntukan dibawah Pakej Plasma Pembangunan Peneroka di mana setiap peserta akan menerima peruntukan sebanyak RM2 ribu untuk melaksanakan projek secara berkelompok.
“Bagi fasa pertama ini, sepuluh warga Felda Bukit Bading daripada pertubuhan KAF, Persatuan Belia Felda (MBFM) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Bukit Bading telah bersama-sama meneroka bidang pertanian ini bagi menambah pendapatan dan Projek Cili Fertigasi Kelompok ini menjadi perintis kepada tujuh kelompok lagi projek yang dijangka akan bermula dalam tahun ini sebanyak 16,000 tanaman cili,” katanya ketika ditemu bual di tapak projek tanaman berkenaan berhampiran Dewan Sivik Felda Bukit Bading, di sini semalam.
Menurut Tarmize, peluang menambah pendapatan melalui pertanian sentiasa menjadi visi kerajaan bagi membantu rakyat.
“Sehubungan itu, selaku agensi kerajaan yang telah banyak membantu rakyat melalui perladangan sawit membuka lembaran baharu untuk terus mempelbagaikan sumber pendapatan untuk membantu warga felda melalui Projek Pembangunan Peneroka (PPP).
“Tanaman cili secara fertigasi dipilih untuk projek pembangunan peneroka di Felda Bukit Bading kerana ianya memberikan pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat serta penjagaan yang minima, untuk fasa pertama ini.
“Lebih 1,800 pokok cili ditanam dan hasil tanaman dijual secara runcit di kebun, kepada penduduk setempat dan secara borong ke pasar, pasar raya serta Pusat Pengumpulan Hasil Ladang, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Selangor,” katanya.
-ii-