![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2020/10/KPDNHEP.jpg)
PUTRAJAYA, 19 April (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mencadangkan, agar lebih banyak permit import (AP) bekalan ayam dikeluarkan untuk mengawal kenaikan harga.
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata bagi memastikan ia dapat dilaksanakan, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) secepat mungkin.
“Sekiranya pemborong dan penternak cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan menaikan harga ayam, kita boleh tawarkan kepada syarikat yang berminat. Saya yakin dengan adanya permit pengimportan ayam, ia dapat menyelesaikan masalah ini.
“Pemberian AP adalah satu cadangan yang baik dan kita akan bincang dengan MAFI, kerana AP ayam di bawah bidang kuasa MAFI, bukan KPDNHEP,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga dan bekalan barangan keperluan di Pasar Chabang Tiga, Kampung Hiliran Jejawi, di Kuala Terengganu hari ini.
Lawatan beliau di pasar terbabit dilakukan selepas menerima aduan daripada orang ramai yang mendakwa berlaku kenaikan harga ayam antara 30 sen hingga 40 sen sejak minggu, lalu manakala hari ini bahan mentah itu dijual RM10 sekilogram.
Harga barang mentah lain seperti daging dan sayur-sayuran juga dikatakan meningkat, dan berikutan itu beberapa peniaga diminta menyatakan maklumat harga sebelum diambil tindakan lanjut.
Selain itu, Rosol berkata sehingga kini sehingga 18 April sebanyak 42 notis berkaitan kenaikan harga ayam telah dikeluarkan, iaitu 25 notis kepada pemborong manakala 17 lagi melibatkan penternak.
— BERNAMA