Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tiada Asas Ganapathy Dipukul, Cadang Inkues untuk Keadilan – Polis

By 30 April 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 30 April (Malaysiaaktif) – Pihak polis menyimpulkan dakwaan ibu Ganapathy Anpalagan bahawa anaknya dipukul dalam tahanan tidak dapat dibuktikan kerana tiada aduan diterima pihak mahkamah ketika permohonan reman sebanyak tiga kali ke atasnya.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe, berkata ianya dapat dilihat pada Nota Reman bertarikh 25 Februari, 2 Mac dan 6 Mac daripada Pendaftar Mahkamah Selayang bahawa tiada catitan mengenai mangsa dipukul dalam tahanan.

“Mangsa juga tidak membuat aduan dipukul dalam tahanan polis kepada Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan ketika menerima rawatan pada 28 Februari, 3 Mac, 6 Mac dan 7 Mac.

“Namun, siasatan masih diteruskan dan memberi jaminan tidak akan melindungi sesiapa sekiranya terbukti ada salah laku ketika mengendalikan kes ini.

“Apabila kertas siasatan lengkap, kes ini akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya dengan cadangan Inkues agar kes ini dapat dikendalikan secara telus,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Bukit Idaman hari ini.

Menceritakan kronologi kejadian, Arifai memaklumkan Ganapathy ditangkap pada 24 Februari bagi membantu siasatan kes samun kilang serta kes mendatangkan kecederaan dan disiasat di bawah Seksyen 395/397, 324/342 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tangkap layar video berdurasi 54 saat yang memaparkan beberapa lelaki sedang memukul dua lelaki lain yang mengaitkan dengan kes Ganapathy yang didakwa dipukul di dalam lokap namun dinafikan pihak polis.

Tangkap layar video berdurasi 54 saat yang memaparkan beberapa lelaki sedang memukul dua lelaki lain yang mengaitkan dengan kes Ganapathy yang didakwa dipukul di dalam lokap namun dinafikan pihak polis.

“Rakaman percakapan mangsa tidak dapat dirakam sehingga mangsa meninggal dunia atas keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Pada 25 Februari keluarga mangsa telah menyerahkan ubat-ubatan kepada anggota lokap Balai Polis Selayang selepas dimaklumkan beliau mempunyai sejarah penyakit jantung dan diabetis.

“Mangsa ditahan di Zon Kuning Hospital Selayang pada 7 Mac ketika masih dalam tahanan reman dan pada 8 Mac pula Pegawai Perubatan di Zon Merah mengesahkan kulit kaki kanannya telah mengelupas dan mengalami kesukaran bernafas,” katanya.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas dirawat selama 43 hari serta dua kali kaki kanannya terpaksa dipotong.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, komen, ulasan atau pernyataan yang boleh menganggu siasatan serta memberikan maklumat yang tidak tepat.

“Semalam juga terdapat video yang ditularkan dan saya telah membuat penafian bahawa ianya tiada kaitan dengan kes ini, sebaliknya kejadian berkenaan berlaku di tempat lain.

“Laporan polis telah dibuat dan kes tersebut sedang disiasat,” jelasnya.

Semalam, tular di media sosial video berdurasi 54 saat yang memaparkan dua orang lelaki dipukul dan ditendang oleh beberapa orang lelaki lain yang mengaitkan kes tersebut dengan dakwaan Ganapathy dipukul di dalam lokap.

-RI

Tinggalkan komen anda