Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

3,788 Kes Baharu, Melepasi 3,500 Kes

By 1 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Kes positif baharu COVID-19 kini melepasi angka 3,500 dengan 3,788 kes dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitternya berkata daripada jumlah itu, Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 1,265 kes diikuti Sarawak (760) dan Kelantan (464).

Ia kemudian diikuti Kuala Lumpur merekodkan 255 kes; Pulau Pinang (250); Johor (160); Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing 136 kes; Perak (118); Sabah (89); Melaka (55) serta Pahang (54).

Pada masa sama, Terengganu mencatatkan 37 kes, Perlis (lima) manakala Putrajaya dan Labuan masing-masing merekodkan dua kes.

Dalam kenyataan perkembangan COVID-19, Dr Noor Hisham berkata jumlah kumulatif kes positif kini ialah 408,713 dan sebanyak 2,640 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatifnya 377,980 manakala kes aktif 29,227.

Selain itu, beliau berkata sejumlah 328 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 161 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala terdapat pertambahan 14 kematian menjadikan jumlah keseluruhan angka korban akibat wabak itu kini 1,506.

Katanya 17 kluster baharu dikenal pasti melibatkan masing-masing lima kluster komuniti dan kluster tempat kerja, empat kluster sektor pendidikan dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster keagamaan serta kluster pusat tahanan.

Tiga kluster komuniti dilaporkan di Sarawak (Kluster Nanga Tajam, Kluster Sungai Ranan dan Kluster Sungai Ngungun) dan masing-masing satu di Sabah (Kluster Kampung Bergosong) serta Melaka (Kluster Kampung Hilir Alor Gajah).

Kluster tempat kerja pula membabitkan dua di Pulau Pinang (Kluster Perusahaan Baru Dua dan Kluster Tapak Bina Jalan Todak Satu) dan masing-masing satu di Kelantan (Kluster Kemayang), Selangor (Jalan Taming Dua) serta Sarawak (Kluster Air Padang).

Dr Noor Hisham juga berkata kluster sektor pendidikan dikenal pasti di Sarawak (Kluster Jalan Agama) dan Negeri Sembilan (Kluster Jalan Dataran) manakala kluster institusi pendidikan melibatkan Selangor (Kluster Jalan Wau) dan Perak (Kluster Chersonese).

Kluster kumpulan berisiko tinggi pula melibatkan Kuala Lumpur (Kluster Taman Bukit Hijau) manakala kluster pusat tahanan membabitkan Johor (Kluster Pagar Rimba) dan kluster keagamaan dikesan di Johor (Kluster Jalan Sultanah).

Katanya pertambahan itu menyaksikan kluster aktif kini 390 manakala lima kluster ditamatkan semalam.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda