
Foto: Facebook Hamzah Zainudin
PUTRAJAYA, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Semua agensi keselamatan negara telah meningkatkan pelbagai aspek kawalan keselamatan bagi memelihara ketenteraman awam penduduk di Malaysia termasuk warga Palestin yang berada di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas ancaman keselamatan yang dikeluarkan Israel terhadap pemimpin pergerakan perjuangan Palestin di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
“Justeru , saya menyeru orang ramai untuk bertenang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata dalam masa sama, KDN mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.
“Kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
— BERNAMA