
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG BARU, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Pengalaman menjadi pesakit COVID-19 selama 10 hari sesungguhnya memberikan keinsafan yang tidak dapat dibayangi keperitannya.
Pesakit COVID-19 Azizan Md Ali, 59, berkata beliau dijangkiti virus berbahaya tersebut bersama 58 orang yang lain selepas 27 pelajar tahfiz Surau Hidayatul Mustaqim, di sini mengalami gejala demam sebelum menjalani calitan pada 23 April lalu.
“Saya turut menjalani ujian calitan hari berkenaan dan permulaannya tiada sebarang simptom, namun kesannya mula dirasai selepas mengalami masalah pernafasan sehari kemudian.
“Saya sukar bernafas pada pagi 24 April sebelum meminta supaya menghubungi ambulans untuk dibawa ke Hospital Selayang.
“Sakitnya memang luar biasa, terutama di bahagian dada walaupun gunakan ubat biasa pun masih tidak hilang,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Katanya, ketika itu beliau belum mendapat keputusan ujian calitan dan beranggapan ianya hanya sakit asma biasa seperti yang pernah dialami sebelum ini.
“Namun segala berubah apabila pihak hospital menghubungi untuk memaklumkan keputusan ujian calitan saya adalah positif COVID-19 sekitar pukul 4 petang.

Pengerusi Surau Hidayatul Mustaqim, Azizan Md Ali berkongsi pengalaman dirinya dijangkiti COVID-19 yang tidak boleh dilupakan dan sangat memeritkan.
“Motivasi diri jatuh merudum 100 peratus masa itu dan pada hari tersebut saya dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang,” kata pengerusi surau tersebut.
Azizan berkata, saat dimaklumkan positif emosinya terus menjadi tidak stabil menyebabkan dirinya sangat sensitif dan bersifat pemarah walaupun berkaitan hal-hal yang kecil sahaja.
“Saya rasa terhina sangat dan seolah-olah tidak berguna lagi walaupun ketika itu petugas hospital hanya melarang orang melalui depan katil sahaja.
“Saya dibawa ke MAEPS untuk pemerhatian selama dua hari dan seterusnya dihantar ke Hospital Sungai Buloh selama lapan hari untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas keadaan semakin teruk.
“Selepas dirawat di hospital saya kembali bermotivasi selepas diberikan bantuan pernafasan 24 jam selama lima hari sebelum dibenarkan pulang,” jelasnya.
Katanya, beliau tidak bersetuju sekiranya terdapat pihak yang mempertikaikan prosedur operasi standard (SOP) ketat di masjid dan surau kerana tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah untuk mengelakkan penularan wabak.

Di Surau Hidayatul Mustaqim ini Azizan bersama 58 orang yang lain dijangkiti virus COVID-19 selepas 27 pelajar tahfiz surau berkenaan mengalami gejala demam.
“Kita tidak tahu siapa penyebar virus malah ramai yang positif COVID-19 tidak mempunyai sebarang gejala.
“Sebab itu selepas sembuh dan surau dibuka semula, saya menjadi seorang yang tegas.
“Jemaah yang hadir ke surau diwajib memakai pelitup muka, jika tidak saya akan suruh dia balik,” katanya.
Azizan turut memaklumkan isterinya juga postif COVID-19 dan dibawa ke PKRC MAEPS tiga hari kemudian namun keadaan tidak seteruk beliau.
-RI