
Laporan/foto: Ali Imran Johari (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang telah berkuatkuasa 10 Mei yang lalu menimbulkan kegusaran kepada kebanyakan para peniaga kecil-kecilan di kawasan sini.
Rata-rata peniaga kecil tidak bersedia untuk menjalani penguatkuasaan berkenaan, ini kerana sepanjang pelaksanaan PKP 3.0, para peniaga dihadkan masa pengoperasian kedai serta para pelanggan tidak boleh makan di kedai seperti kebiasaan.
Menurut peniaga makanan pagi, Safawati Wan Ambak, 33, hasil jualan beliau setelah seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan jatuh merudum.
“Ini kerana saya hanya mampu menjual separuh daripada kuantiti harian makanan, dan ituasi ini berbeza dengan keadaan sebelum PKP 3.0, di mana pelanggan boleh datang dan makan di dalam kedai.
“Biasanya kuantiti makanan yang dijual agak banyak dan pelbagai jenis makanan yang dijual tetapi sejak PKP dilaksanakan, makanan yang dijual tidak dapat dijual dengan banyak,” katanya ketika ditemui di premis makanan miliknya, di sini semalam.
Menurut Safawati, kebiasaannya makanan yang tidak habis dijual akan dibuang begitu sahaja kerana makanan tidak lagi boleh digunakan pada keesokan harinya.
“Saya juga terpaksa menamatkan khidmat pekerja kerana tidak mampu untuk menanggung bagi membayar gaji pekerja, kesan daripada jumlah pelanggan yang datang ke kedai semakin berkurang setiap hari,” katanya.
Manakala pekerja perusahaan keropok lekor, Ainon Muhammad, 70, berkata sebelum PKP 3.0 dilaksanakan permintaan untuk keropok lekor agak tinggi kerana kebanyakan pelanggan membeli bagi menyambut perayaan Aidilfitri.
“Pada bulan Ramadan lalu, permintaan untuk keropok lekor agak tinggi kerana ramai pelanggan yang juga peniaga bazar Ramadan akan membuat tempahan keropok lekor mentah untuk berniaga di bazar Ramadan.
“Sejak PKP 3.0 diumumkan secara mengejut pada 10 Mei 2021 iaitu dua hari sebelum Hari Raya Aidifitri yang lalu, sekali gus menyebabkan ramai pelanggan saya mengeluh dan ada juga yang meminta untuk membatalkan tempahan.
“Walaupun PKP 3.0 dilaksanakan, saya agak lega kerana saya tidak diberhentikan kerja kerana masih ada permintaan untuk keropok lekor walaupun jumlah pelanggan yang datang ke kedai agak sedikit berbanding sebelum PKP 3.0 dilaksanakan,” katanya.
-ii-