
Laporan/foto: Fauziah Abdullah (Seremban)/Mohd Kharul Nizam Yunus (Japen NS)
SEREMBAN, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Pertandingan Pidato Kenegaraan yang merupakan acara tahunan Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Pengarah JaPen Negeri Sembilan Shanon Mohamad, pertandingan ini merupakan wadah untuk menyebarkan maklumat terkini mengenai dasar-dasar kerajaan selain menjadi platform kepada peserta untuk menyuarakan pendapat selain mengetengahkan idea mereka.
“Ia juga dilihat sebagai usaha berterusan yang dipelopori oleh JaPen ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang menguasai Bahasa Kebangsaan dengan baik merentasi batasan bangsa, kaum dan agama,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini kelmarin.
Menurut Shahnon, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tidak boleh dijadikan halangan daripada terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan maka segala program yang telah dirancang diubah suai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu tanpa mengurangkan impak kepada mereka yang terlibat.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua peserta yang terlibat, pegawai dan petugas yang telah bertungkus lumus menjayakan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 2021 ini kerana telah berjaya melaksanakannya dengan penuh meriah walaupun secara dalam talian.
“Bertemakan ‘Malaysia Kita Bangkit Bersama’, 10 orang peserta telah layak ke peringkat akhir bagi memilih juara yang akan mewakili Negeri Sembilan ke Peringkat Kebangsaan.
“Walaupun dalam tempoh PKP penganjuran pertandingan tetap dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan secara dalam talian dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.
Pengumuman pemenang yang diumumkan kelmarin menyaksikan Huzaifah Omar, yang berusia 19 tahun merangkul gelaran Johan dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1500, trofi kemenangan, sijil penyertaan dan hadiah iringan manakala tempat kedua dimenangi oleh Nurul Nisha Mohd Shah manakala tempat ketiga menjadi milik Nurul Faranadia Unchut.
-FF