Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Proses Vaksinasi di PPV WTCKL Berjalan Lancar

By 16 Mei 2021Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Proses pemberian vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) berjalan lancar walaupun kapasiti vaksinasi di PPV itu dipertingkat kepada 8,100 dos sehari mulai semalam.

Tinjauan ke PPV berskala paling besar di Malaysia setakat ini itu mendapati segala proses vaksinasi adalah teratur dengan laluan ekspres disediakan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) Dr Anas Alam Faizli berkata kesesakan yang berlaku di pintu masuk bangunan itu dipercayai berpunca daripada sikap penerima vaksin tidak mematuhi masa ditetapkan dalam janji temu masing-masing.

“Hanya perlu ikut janji temu (yang tertera dalam) MySejahtera. Dalam tu ada nombor stesen di WTCKL iaitu stesen satu, dua atau tiga.

“Daripada situ mereka tahu barisan mana nak beratur. Yang kelam-kabut itu mungkin mereka yang datang bukan pada waktunya,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata antara perkara yang ditambah baik berbanding sebelum ini pula ialah apabila Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) membenarkan sistem pengurusan barisan iaitu penerima akan diberi angka giliran dan digunakan sehingga selesai pemberian vaksin.

Dr Anas Alam berkata setakat ini, hampir 30,000 dos vaksin AstraZeneca digunakan di semua PPV berkenaan dengan tiga lagi PPV di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC).

Sementara itu, seorang jurutera di sebuah syarikat swasta Ahmad Faiz Mat Nor, 33, berkata beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan setakat ini selepas disuntik vaksin berkenaan.

Antara sebab beliau nekad mengambil vaksin itu ialah kerana bimbang menjangkiti dua anaknya yang berusia dua dan empat tahun.

“Saya bekerja asyik jumpa orang maka saya berisiko untuk dijangkiti. Apabila ada peluang untuk mendapatkan vaksin, saya terus ambil,” katanya sambil menambah bahawa ibu bapanya yang berada di Kota Bharu, Kelantan juga sudah divaksinasi.

Seorang suri rumah Jenny Blalih anak Yalak, 65, pula berkata beliau dan suaminya, William Timmins, 68, berasa gementar sebelum divaksinasi kerana takut dengan jarum suntikan namun kesemuanya berlaku dengan pantas malah doktor yang bertanggungjawab juga memudahkan urusan mereka.

Bagi seorang petugas perakaunan di sebuah syarikat swasta Cheah Ai Juan, 31, beliau ingin divaksinasi secepat mungkin kerana bekerja dan menetap di kawasan zon merah COVID-19.

Semalam, Bernama melaporkan selain WTCKL, kapasiti PPV di UM dan UKM bagi vaksin sama turut dinaikkan daripada 900 kepada 1,300 dos sehari sementara IDCC, yang dijadualkan mula beroperasi 24 Mei ini, mempunyai kapasiti vaksinasi 3,000 dos sehari.

Orang ramai yang dijadual menerima vaksin AstraZeneca di PPV WTCKL disaran jangan tiba terlalu awal daripada slot masa janji temu ditentukan bagi mengelakkan kesesakan di pusat itu.

CITF dalam satu kenyataan memaklumkan mereka diminta untuk tidak hadir lebih awal daripada tempoh 30 minit janji temu untuk mengelakkan kesesakan sebaliknya hanya tiba di PPV antara 15 dan 30 minit lebih awal daripada masa yang ditetapkan.

Peringatan itu diberikan CITF berikutan keadaan sesak di WTCKL apabila PPV tersebut memulakan proses vaksinasi secara besar-besaran hari ini dengan jumlah janji temu sebanyak 8,100 untuk tempoh 9 pagi hingga 9 malam.

“CITF mengambil maklum keadaan sesak yang berlaku hari ini apabila PPV ini kembali beroperasi selepas cuti Aidilfitri.

“Keadaan sesak ini berlaku apabila terdapat ramai yang diberi janji temu tiba ke WTCKL lebih awal daripada slot masa ditetapkan kepada mereka. Sebagai contoh, individu dengan janji temu pada 6 petang tiba seawal 2 petang,” kata CITF.

Menurut CITF, terdapat ramai individu tanpa janji temu ‘mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin secara ‘jumpa terus’ yang turut menambah kesesakan sedia ada.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda