
Laporan/foto: Aishah Latip/Denis Atem/Mohd Indah Putra (Lundu)
LUNDU, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Sarawak 2026 di Daerah Lundu diserikan menerusi penganjuran Lundu Heart Day di Town Square Lundu bagi membudayakan amalan hidup sihat dan menyemai semangat patriotisme masyarakat pelbagai lapisan.
Program anjuran Yayasan Jantung Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu itu disempurnakan oleh ADUN Tanjong Datu Azizul Annuar Pehin Sri Adenan.
Menurut Azizul, sambutan tahun ini amat bermakna kerana genap sedekad Hari Sarawak diisytiharkan sebagai cuti umum oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang memberi peluang kepada rakyat menghargai sejarah, identiti serta pencapaian negeri.
“Pembangunan Sarawak tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan ekonomi, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembangunan modal insan melalui pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu berkata, program berkenaan perlu diteruskan secara konsisten bagi meningkatkan kesedaran berhubung pencegahan penyakit tidak berjangkit.
“Amalan hidup aktif merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat. Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah menggalakkan masyarakat menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan risiko penyakit,” jelasnya.
Bagi memeriahkan acara, pelbagai pengisian disediakan antaranya Walk a Mile, senam sihat, saringan kesihatan percuma, pemeriksaan kendiri payudara serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah basikal lipat.
Program tersebut turut mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta Konvoi Motosikal Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu yang mencerminkan kerjasama erat dalam meningkatkan kesedaran kesihatan awam.
-RJ-




