
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/MEDKOM (Johor)
JOHOR BAHRU, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Kebajikan rakyat dalam mendepani pandemik COVID-19 merupakan agenda utama perbincangan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad secara maya, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar, pada perbincangan tersebut semua wakil rakyat sebulat suara menyuarakan pandangan mereka dan memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri memimpin usaha-usaha menangani pandemik COVID-19 di negeri ini.
“Kesepakatan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua wakil rakyat ini membuktikan penzahiran politik ‘Cara Johor‘ yang amat mementingkan muafakat bagi memastikan konsensus rentas parti politik dapat diarusperdanakan dalam mendepani pandemik ini.
“Perbincangan ini bertujuan untuk mencapai satu bentuk konsensus dan persepakatan bagi kebaikan rakyat negeri ini di mana segala pandangan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN yang hadir diambil maklum serta diteliti untuk dilaksanakan,” tambah kenyataan tersebut.
Kerajaan Negeri juga sentiasa mengutamakan aspek kebajikan dan kepentingan rakyat khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19 yang mana pelbagai inisiatif serta bantuan telah pun disalurkan kepada golongan yang terkesan dan usaha itu akan terus diperkasakan.
“Kerajaan negeri sedang merancang untuk pemberian pakej rangsangan ekonomi 3.0 dan memperuntukkan RM10 juta bagi pemberian bakul makanan.
“Beberapa pendekatan turut diambil termasuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan semua pihak berkaitan proses untuk mendapatkan vaksin serta berusaha membeli bekalan vaksin sendiri dari Singapura,” menurut kenyataan itu.
Johor berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin di bawah inisiatif ImmuPlan Johor bagi mendapatkan 100,000 dos bekalan vaksin tambahan yang dikhususkan kepada economic frontliners di negeri ini.
“Menguruskan pandemik ini adalah salah satu cabaran yang besar yang mana pandangan serta penglibatan semua pihak termasuk wakil-wakil rakyat amat dialu-alukan dalam memastikan kemakmuran negeri ini sentiasa terjamin.
“Kerajaan Negeri turut bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada wakil-wakil rakyat di negeri ini yang melibatkan semua ADUN Johor,” tambahnya kenyataan itu lagi.
-NI-