
Laporan/foto: Shaik Fikri (Terengganu)
KEMAMAN, 9 Jul (MalaysiaAktif) – Kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Komuniti MADANI dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik mencapai kemajuan dalam memperkasakan komuniti setempat menerusi komunikasi strategik, penyampaian maklumat yang tepat serta penghayatan dasar dan inisiatif kerajaan.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Baru Kiri Kemasik Abdul Aziz Omar berkata Program Akademi Asas Penerangan (ASAS) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang membawakan sesi ceramah, latihan dan aktiviti interaktif berhasil meningkatkan keyakinan diri peserta.

Peserta tekun mendengar taklimat yang disampaikan.
“Saya berharap ilmu dan pengalaman yang diraih sepanjang program ini dapat dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat secara beretika, tepat dan penuh tanggungjawab,” katanya di sini semalam.
Program di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perumahan Kampung Baru Kemasik itu menghimpunkan ahli Komuniti MADANI dari DUN Kemasik untuk mengikuti pelbagai modul termasuk pengucapan awam, komunikasi berkesan, literasi media, etika penggunaan media sosial serta kaedah mengenal pasti dan menangani maklumat palsu.
Peserta turut didedahkan kepada aspek keselamatan digital dan kempen Tunggu 16 bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian seperti buli siber, penipuan dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.
-RI








